Halaman

10 April 2012

Hapus yuran Tadika Pasti sebelum mansuh pinjaman YT dan PTPTN-MB

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mencabar barisan kepimpinan Pas supaya terlebih dahulu memansuhkan yuran mana-mana sekolah milik parti itu, termasuk tadika Pasti sebelum berangan menghapuskan pinjaman Yayasan Terengganu.

“Terdesak untuk memenangi banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, parti pembangkang tidak habis-habis menabur janji kosong dan berbohong kepada masyarakat demi meraih sokongan,” katanya.

Katanya, janji pembangkang untuk menghapuskan pinjaman YT dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah lebih bersifat `khayalan’ dan palsu semata-mata.

“Kalau serius hendak menghapuskan pinjaman itu, mereka sepatutnya terlebih dahulu menghapuskan Tadika Pasti yang mengenakan yuran bulanan antara RM50 hingga RM150 bagi setiap kanak-kanak.

“Jika belajar di Tadika Pasti pun dikenakan yuran mahal, bagaimana hendak laksanakan pendidikan percuma kepada setiap pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berjumlah ratus ribu itu pada setiap tahun,” katanya.

Katanya, dia malu dan sedih dengan kenyataan itu yang tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang pemimpin.

“Kita bukan hendak berbangga, belajar di tadika milik kerajaan iaitu Tadika Kemas hanya perlu membayar RM10 saja sebulan, kadar ini yang berkuatkuasa lebih 20 tahun masih kekal ke hingga ini.

“Pelbagai manfaat diterima kanak-kanak, termasuk diberi makanan berkhasiat, belajar Iqra dan pelbagai Kurikulum Prasekolah Kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia diguna pakai di tadika kemas,” katanya