Halaman

06 April 2012

E-Book untuk anak-anak istimewa

Oleh: Nurul Aziela Saberi
Kompleks Penyayang Kampung Mak Chili telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan buat kali ke- 3 yang telah dirasmikan oleh isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, baru-baru ini.

Sebanyak 8 e-Book telah disumbangkan kepada PDK Kompleks Penyayang Mak Chili untuk kanak-kanak istimewa mengenali dunia IT. Sumbangan ikhlas tersebut telah dihadiahkan oleh Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT).

Sekitar kawasan Kemaman terdapat tujuh Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) manakala di seluruh Terengganu pula keseluruhannya mempunyai 42 buah PDK.

Selain daripada itu, Badan Amal dan Kebajikan di seluruh negeri akan bekerjasama dengan Semai Bakti untuk melaksanakan beberapa program di bawah PDK di mana Semai Bakti sebelum ini telah banyak menganjurkan pelbagai program antaranya Karnival Jualan dan lawatan ke Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya, To’ Puan Seri Norliza berkata, anak-anak istimewa ini perlu diberi perhatian yang khusus kepada mereka. Guru-guru mahupun pelatih perlu lebih berdedikasi dalam menjalankan tanggungjawab mereka agar anak-anak istimewa itu tidak merasa tersisih daripada anak-kanak lain.

Beliau juga amat berbangga dengan pencapaian adik Mohd Azlan Bin Mat Lazim yang telah berjaya memenangi pingat gangsa dalam Sukan Olimpik baru-baru ini. Keadaan ini jelas membuktikan, sekiranya diberi peluang dan perhatian khusus kepada mereka akhirnya mereka akan menunjukkan pencapaian yang membanggakan.

To’ Puan Seri Norliza turut meluangkan masa melawat bilik pengajaran dan pembelajaran sebelum meninggalkan PDK serta menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM5,000 kepada Kompleks Penyayang.

Turut hadir Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) Tuan Haji Roshali Taha, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman En. Ghazali Awang, dan Pengerusi PDK Kompleks Penyayang Tuan Haji Mohtar @Mukhtar Mohd.