Halaman

09 April 2012

Ceramah Pas gagal tarik minat orang ramai

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Ceramah Pas di segenap tempat di negeri ini gagal menarik orang ramai untuk mendengar apa yang dikatakan pemimpin parti itu, mungkin disebabkan penduduk tempatan sudah bosan dengan ‘lagu’ lama yang didendangkan di ceramah berkenaan.

Berbeza dengan dulu, boleh dikatakan ramai yang akan membajiri ceramah-ceramah anjuran parti itu, terutama jika ada penceramah ‘import’ yang melibatkan pemimpin atasan parti tersebut.

Hakikatnya rakyat kini sudah bosan dengan ceramah Pas yang kebanyakannya mengutarakan isu-isu lapuk di mana orang ramai sudah tahu kebanyakan fakta yang disogok kepada mereka tidak benar dan hanya bertujuan menjatuhkan maruah pemimpin Barisan Nasional (BN).

Pemerhati politik berpendapat sokongan keterlaluan pemimpin-pemimpin Pas terhadap pemimpin pembangkang lain yang berada dalam Pakatan Rakyat (PR), khususnya Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menyebabkan mereka mula ragu-ragu dengan hala tuju perjuangan Pas.

Jika dulu rakyat tempatan diulit dengan kata-kata indah pemimpin Pas yang mahu menegakkan negara Islam, kini ceramah Pas banyak bertumpu kepada kata-kata nista dan celaan kepada individu tertentu dari Barisan Nasional (BN).

Keadaan ini menyebabkan ramai yang dulunya terpengaruh dengan perjuangan Pas, kini mula memikirkan kelogikan mereka menyokong perjuangan parti itu.

Pelbagai isu yang melanda pemimpin PR yang didokong oleh Pas menyebabkan rakyat sudah tidak mampu meneruskan sokongan mereka kepada Pas.

Justeru itu, tidak hairanlah jika hanya beberapa kerat saja yang hadir pada ceramah Pas di negeri ini di mana kebanyakan mereka yang hadir merupakan penganjur kepada ceramah tersebut.

Keadaan agak berbeza dengan program yang dianjurkan oleh Barisan Nasional (BN) di mana penduduk tempatan akan keluar beramai-ramai bagi menjayakan program berkenaan.

Tambah menarik, program anjuran BN di kawasan yang dikatakan ‘kubu’ kuat Pas juga berjaya menarik kehadiran luar biasa, terutama jika ia melibatkan kehadiran pemimpin atasan BN.

Pemerhati politik berpendapat fenomena ini memberi kelebihan kepada BN di mana sebahagian besar penyokong Pas kini mula mengalihkan sokongan mereka kepada BN.

Jika keadaan ini berterusan, bermakna BN menghadapi keadaan yang lebih selesa untuk berdepan dengan Pas dan parti-parti lain dalam PR pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa.