Halaman

27 March 2012

UMT bakal anjur kejohanan skuasy dunia 2016

Oleh: Aida Abd Rahman

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memastikan hasrat institusi itu menganjurkan Kejohanan Skuasy Universiti Dunia pada 2016 mampu direalisasikan .

Naib Caunselor UMT Prof Dato’ Dr Aziz Deraman berkata buat permulaan, pihaknya akan cuba mendapatkan dana daripada KPT untuk menaik taraf dua buah gelanggang skuasy sedia ada bernilai hampir RM1 juta di kampusnya di Kuala Terengganu.

"KPT memilih UMT sebagai Pusat Sukan Tumpuan (PST) skuasy, jadi kita buat perancangan dengan jelas termasuk mendapatkan dana tambahan daripada KPT bagi menaik taraf kemudahan skuasy untuk memastikan kita berjaya menganjurkan kejohanan berkenaan," katanya selepas majlis pelantikan ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David selaku ikon skuasy Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Selain itu, UMT juga berharap KPT dapat memberikan dana untuk memperbanyakkan lagi gelanggang skuasy moden berbentuk kaca sebagaimana yang terdapat di negara lain.