Halaman

02 March 2012

Tiada HIV?AIDS dikalangan bayi lahir menjelang 2015


Dr A Rahman melepaskan peserta konvoi dari Jertih ke Kangar,Perlis


Oleh: Mohammad Ishak


Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan meneruskan Program Terapi Gantian dengan Methadone sebagai usaha mengurangkan kemudaratan dikalangan penagih yang disebabkan penggunaan dadah suntikan dari jenis dadah heroin dan morfin di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata sejak dilaksanakan program tersebut telah banyak membantu dengan seramai 1287 penagih telah mendaftar mengikutinya dan dari jumlah itu 867 daripadanya begitu aktif.

“ Sehingga sekarang kita masih menanggapkan rawatan melalui program tersebut relevan kerana bukan sahaja kosnya amat rendah malah mendapat sambutan penagih untuk mengikuti program rawatannya tanpa masalah”, katanya kepada media selepas melepaskan peserta Kembara Sihat Tanpa Aids 2012 membabitkan 200 peserta dengan 70 kenderaan dari Terengganu Ke Perlis di Jertih Souq disini hari ini.

Dr A Rahman berkata, melalui program itu penagih dadah jenis suntikan yang selama ini tersisih daripada masyarakat , kini mula kembali semula ke dalam masayarakat dan diberi pendidikan kesihatan dan pemulihan untuk berfungsi semula kepada komuniti.

Katanya, sehingga Disemnber tahun lalu sudah terdapat 14 buah pusat terapi berkenaan di negeri ini yang mana 6 daripadanya beroperasi di hospital, 7 buah di klinik kesihatan dan 1 lagi di penjara.

Beliau berkata, jangkitan HIV/AIDS pertama di Terengganu telah dikesan pada tahun 1988 dan sehingga Disember lalu sebanyak 8833 kes HIV telah difaftarkan di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri juga amat serius dalam mengurangkan bilangan kes HIV dengan turut mensasarkan sifar peratus bagi kes bilangan bayi baru lahir yang menghidapi HIV/AIDS menjelang 2015.

A Rahman memberitahu Jabatan Kesihatan Negeri telah berjaya mencatatkan sifar peratus pada tahun 2010 tetapi mencatatkan 2 kes pula pada tahun 2011.

Turut hadir dalam pelepasan program itu ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Anwa Sulaiman dan pegawai-pegawai kanan kesihatan dari seluruh negeri.