Halaman

12 March 2012

Terengganu terima lima permohonan syarikat kilang keluli asing

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan Terengganu menerima lima permohonan syarikat asing yang berminat untuk melabur dalam industri keluli di Zon Industri Berat Teluk Kalong, Kemaman, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Menurut beliau, permohonan tiga syarikat dari China dan masing-masing satu dari India dan Dubai itu dijangka mewujudkan banyak peluangan pekerjaan dan menjana pertumbuhan ekonomi setempat.

Katanya, pelaburan menerusi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu mengurangkan pergantungan ke atas import bijih besi di samping membekalkan produk yang bakal dihasilkan terus kepada industri hiliran dalam pasaran tempatan.

“Syarikat tersebut telah datang ke Terengganu dan menghantar permohonan kepada Kerajaan negeri dengan mengemukakan kajian daya maju serta prospek ekonomi kawasan berkenaan.

“Mereka telah buat kajian terperinci, berbincang dan sebagainya. Siapa yang dapat buka kilang yang lebih besar dengan manfaat lebih baik kepada kerajaan dan masyarakat sekitar, kilang itu kita beri keutamaan,” katanya,

Beliau berkata demikian selepas majlis undian lot tanah berkelompok 138 peneroka Felcra Darat Dato’ C di Kampung Ibok, Kemaman baru-baru ini.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, kawasan seluas 320 hektar itu telah menarik minat pelaburan bernilai RM400 juta oleh Perwaja Holding Berhad pada Ogos tahun lalu dan tiga bulan selepas itu pelaburan daripada China, Estern Steel Sdn. Bhd. bernilai RM1.8 juta.

Katanya, kedua-dua kilang itu bakal beroperasi sepenuhnya tahun 2013 dengan menawarkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan.

Beliau berkata, Kerajaan negeri menetapkan dasar bahawa pelabur luar yang mahu memajukan lombong bijih besi di Terengganu perlu membuat pelaburan dengan membuka kilang di negeri ini.

“Di Bukit Besi, Dungun yang terletak kira-kira 80 kilometer dari kawasan kilang (Teluk Kalong) masih terdapat kira-kira 50 juta tan metrik logam selepas kerja melombong oleh sebuah syarikat British berakhir pada tahun 1971.

“Tidak bergantung kepada sumber di kawasan itu sahaja, Daerah Kemaman juga turut mempunyai deposit kira-kira 25 juta tan metrik bijih besi yang boleh diterokai,” ujarnya.