Halaman

31 March 2012

Terengganu basmi kemiskinan, Kelantan paling ramai rakyat miskin

Oleh: Kamarudin Mat Akib

ANTARA DUA DARJAT...begitu perbezaan antara dua negeri berjiran di Pantai Timur di mana Terengganu diperintah oleh Barisan Nasional (BN) manakala Kelantan dikuasai Pas sejak 1990.

Di bawah pemerintahan Kerajaan BN Terengganu yang diterajui Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kerajaan negeri meletakkan sasaran mengsifarkan (0) kemiskinan tegar menjelang tahun depan.

Bagi merealisasikan hasrat murni itu, usaha berterusan dilaksanakan Kerajaan Terengganu untuk mengeluarkan penduduk miskin daripada garis kemiskinan dengan cara menambah pendapatan mereka.

Melalui Bajet 2012 yang bertema “MERAKYATKAN PENTADBIRAN DAN PEMBANGUNAN: BAJET KESEJAHTERAAN RAKYAT”, kerajaan negeri memberi penekanan kepada tiga strategi utama iaitu memantapkan pembangunan modal insan berkualiti, memelihara kesejahteraan rakyat dan meningkatkan daya saing negeri.

Melalui strategi pertama peruntukan sebanyak RM60.3 juta disediakan bagi sektor pendidikan agar rakyat mendapat pendidikan terbaik bermula dari peringkat asas hingga tahap tertinggi.

Melalui strategi kedua, kerajaan negeri meletakkan sasaran mengsifarkan kemiskinan tegar dan menurunkan kadar kemiskinan kepada 1 peratus pada tahun 2013 dengan peruntukan RM42.6 juta bagi program pembasmian kemiskinan, pembangunan kampung dan masyarakat.

Program Bantuan Rumah, Program Peningkatan Pendapatan, Program Latihan Kemahiran & Kerjaya serta Program Jaya Diri, akan diteruskan bagi menjayakan matlamat itu.

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM27.3 juta tahun depan dengan tumpuan kepada projek-projek sambungan antara lain Projek Jelapang Padi, Projek Pembangunan Ladang Kelapa Sawit, Projek Tanaman Kelapa dan projek kecil berkelompok yang boleh menjana pendapatan rakyat.

Dalam usaha golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman lebih selesa, kerajaan negeri menyediakan Dana Pinjaman Perumahan Rakyat Negeri Terengganu dengan peruntukan permulaan sebanyak RM50 juta.

Melalui skim itu yang kini sedang diperhalusi kaedah pelaksanaan dan syarat-syarat pinjaman, setiap pemohon boleh meminjam sehingga RM50,000 melalui pinjaman yang berteraskan syariah.

Menerusi strategi ketiga, kerajaan negeri akan memanfaatkan sepenuhnya potensi sektor di mana Terengganu mempunyai kelebihan dengan cara memperkenalkan lebih banyak kreativiti dan inovasi.

Bagi menggalakkan pelancongan dari dalam dan luar negara, kerajaan telah mengumumkan tahun 2013 sebagai Tahun Melawat Terengganu dan seterusnya menjadikan setiap tahun adalah Tahun Melawat Terengganu di mana peruntukan RM138.85 juta disediakan tahun depan bagi melaksanakan projek di bidang pelancongan.

Begitu hebat perancangan yang dilakukan Kerajaan BN Terengganu bagi membantu meningkatkan ekonomi penduduk, termasuk membasmi kemiskinan, tetapi negeri Kelantan yang dikuasai Pas tidak mempunyai agenda khusus bagi membantu golongan tersebut.

Sejak Kelantan dikuasai Pas lebih dua dekad yang lalu keadaan fizikal, terutamanya soal menjaga kebajikan penduduk yang miskin tidak banyak berubah kerana ketidakupayaan Pas membangunkan negeri itu.

Oleh itu, tidak hairanlah jika negeri Kelantan terus kekal antara negeri paling ramai mempunyai penduduk miskin di negara ini.

Itulah perbezaan ketara antara dua negeri yang diperintah oleh BN dan Pas.