Halaman

05 March 2012

TATiUC sasar kemasukan pelajar tahap maksimum tahun ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Kolej Universiti Tati (TATiUC) mensasarkan pengambilan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia ke pusat kemahiran itu bertambah kepada jumlah maksimum iaitu seramai 900 pelajar bagi sesi kemasukan tahun ini berbanding 800 pelajar tahun lalu.

Rektornya, Dr Mohd Rozailan Mamat, berkata bagi kemasukan tahun lalu, jumlah yang direkodkan adalah paling ramai dalam sejarah 18 tahun penubuhan TATiUC.

“TATiUC mengharapkan pada tahun ini, kemasukan bertambah kepada 900, bilangan paling maksimum yang boleh diambil memandangkan kekangan tempat penginapan di kampus.

“Pada masa ang sama, jumlah keseluruhan program yang ditawarkan pada sesi depan adalah sebanyak 29 program, termasuk lima program baru iaitu Bachelor in Electrical Engineering Technology, Bachelor in Manufacturing Engineering Technology (Product Management), Bachelor Information Technology, Diploma in Electrical Engineering dan Diploma in Information Technology,” katanya di Majlis Makan Tengahari Bersama Kaunselor Daerah Setiu, di Sutra Beach Resort, Setiu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Pengurusan TATiUC merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Katanya, bagi sesi 2012-2013 akan datang, pihaknya bercadang menawarkan satu program peringkat Sarjana, sembilan program Ijazah Muda, 14 program peringkat Diploma, dua program Persediaan dan tiga program peringkat Sijil.

“Program peringkat Sijil ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan. Pelajar dibayar elaun sara hidup secara percuma sebanyak RM250 sebulan,” katanya.