Halaman

05 March 2012

Sultan Mizan lancar empat program pendidikan YDSM

Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan melihat pelajar mempratikkan bahasa Arab ketika mencemar duli melawat Projek Bestari di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, hari ini.

Oleh FAUZI MOHD
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan melancarkan empat program pendidikan kelolaan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, hari ini.

Tiga program berkenaan meliputi bidang pendidikan iaitu Projek Bestari YDSM serta Program Pengukuhan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab yang mempertaruhkan dua Piala YDSM untuk dipertandingkan.

Program keempat adalah penyampaian buku ‘Dirgahayu Tuanku : Sejarah Kesultanan Terengganu 1708-2008’ terbitan YDSM sempena 300 tahun pemerintahan Kesultanan Terengganu tajaan syarikat AHT & Carriage Sdn. Bhd.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB. Ahmad Razif Abd Rahman dan pembesar-pembesar negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pelancaran program itu, Dato’ Mohd Fadzli Yusof berkata, Projek Bestari YDSM membabitkan pembekalan dan penyediaan kemudahan komputer di 10 buah sekolah agama di Terengganu dengan kos RM300,000.

Menurutnya, dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), kemudahan perisian komputer itu bagi menjadikan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah lebih menarik dan berkesan.

Katanya, Program Pengukuhan Bahasa Inggeris membabitkan pertandingan murid-murid semua sekolah rendah dan menengah di negeri ini bagi menguji kecekapan dan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa berkenaan.

“Program yang masuk tahun ketiga itu akan diperluaskan penglibatannya ke sekolah-sekolah masyarakat Orang Asli dengan peruntukan lebih besar berjumlah RM300,000.

“Program Pengukuhan Bahasa Arab, sejumlah RM200,000 diperuntukkan dengan melibatkan kaedah pertandingan yang hampir sama di semua 21 buah sekolah menengah agama di Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program itu.

Sementara itu kata Dato’ Mohd Fadzli, dua buah buku ‘Dirgahayu Tuanku : Sejarah Kesultanan Terengganu 1708-2008’ akan diagihkan kepada semua 165 sekolah di negeri ini bagi memperteguhkan rasa cinta rakyat jelata kepada Institusi Kesultanan Terengganu.

Pada majlis itu, Sultan Mizan berkenan menyerahkan dua buah Piala YDSM masing-masing kepada Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Hashim Mohd Zin dan Pengarah JHEAT, Mohd Rozali Saleh.

Baginda turut menyaksikan penyerahan buku tajaan AHT & Carriage Sdn. Bhd. oleh Pengarah Urusannya, Dato’ Abdullah Taib kepada Hashim yang mewakili Jabatan Pelajaran negeri.

Sejurus selepas itu, Sultan Mizan yang diringi Menteri Besar berkenan melawat Projek Bestari di sekolah tersebut.