Halaman

13 March 2012

Sukan peringkat antarabangsa mampu tarik pelancong

Oleh: Suriati Ali

Penganjuran pelbagai sukan lasak di peringkat nasional mahupun antarabangsa mampu menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu sekaligus dapat merealisasikan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said, berkata kerajaan negeri sentiasa bersedia sekiranya terdapat mana-mana pihak bersetuju ingin menjadikan Terengganu sebagai lokasi sukan ekstrim.

“Jika bersesuaian dan mampu memberi impak positif kepada rakyat dan ekonomi negeri ia boleh dijadikan sebagi program tahunan serta mengisi kalendar pelancongan negeri.

“Sebelum ini beberapa sukan lasak seperti Kenyir Motocross Monsoon Challenge, 4X4 Rainforest Challenge International, Kejohanan Drive Ride (DR) 4X4 Ranggok Antarabangsa 2012 setia memilih Terengganu selaku tuan rumah,” katanya ketika berucap di Majlis Penutup dan Penampaian Hadiah Terengganu Starhill 4x4 Challenge, di pinggiran Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Terengganu, petang semalam (12 Mac).

Kejohanan yang melibatkan Seramai 140 peserta termasuk enam peserta luar negara itu berlangsung selama empat hari dan berakhir semalam.

Pelepasan peserta kejohanan dilsempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, pada 9 Mac lalu..

Acara yang diasaskan oleh Kelab Kembara Geduut 4x4 dari Besut itu pada mulanya hanya bergerak aktif peringkat daerah, bagaimanapun kini mula berkembang ke peringkat negeri serta kebangsaan.

Dato’ Rahin berkata, usaha menarik pelancong bukan sahaja tertumpu kepada TMT 2013 sahaja, tetapi perlu dilaksanakan setiap tahun khususnya dengan mempelbagai produk dan acara yang dapat menarik penyertaan negara asing.

“pihaknya bercadang melengkapkan persekitaran Komplek Sukan Gong Badak dengan pelbagai kemudahan asas untuk menghidupkan suasana, selain memastikan kawasan itu menjadi lokasi utama bagi aktiviti sukan dan riadah di negeri ini.

“Usaha penambahbaikan dan membangunkan kemudahan di kawasan itu khususnya tandas dan perkedaian akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dalam masa terdekat untuk memberi keselesaan kepada pengunjung,” katanya.