Halaman

22 March 2012

SM Sains Sultan Mahmud kekal legasi terbaik SPM

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu meneruskan legasi kecemerlangan dalam pencapaian peperiksaan awam apabila muncul sekolah terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 seluruh Terengganu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu , Encik Hashim Mohd Zin, berkata berdasarkan Sekolah Berpencapaian Cemerlang (GPS 2.25 ke bawah) sebanyak lapan sekolah seluruh negeri berjaya mencapai keputusan terbaik pada peperiksaan SPM 2011.

“ Mendahului carta kedudukan sekolah terbaik,SM Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu dengan GPS 1.48, kedua Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit (Kuala Terengganu) (1.71), diikuti SM Imtiaz Dungun dengan pencapaian 1.82.

“Manakala keempat SM Sains Kuala Terengganu (1.85), SMA Atas Sultan Zainal Abidin (1.86), diikuti kedudukan kelima SMKA Sheikh Abdul Malek (2.00), SMK Tengku Mahmud, Besut dengan pencapaian 2.17 dan kelapan SM Imtiaz Kuala Berang (Hulu Terengganu) (2.18),” katanya.

Beliau berkata, prestasi mata pelajaran juga bertambah baik apabila 47 daripada 72 mata pelajaran diambil calon SPM negeri ini menunjukkan peningkatan yang menggalakkan daripada Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).

Katanya, bagi kategori cemerlang sebanyak 35 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi melebihi tiga peratus untuk gred cemerlang (A+, A atau A-).

“Sebanyak 18 mata pelajaran menunjukkan prestasi stabil iaitu peningkatan atau penurunan kurang daripada tiga peratus untuk gred cemerlang , manakala sebanyak 18 mata pelajaran menunjukkan penurunan prestasi melebihi tiga peratus untuk gred cemerlang.

“Bagi prestasi gred kepujian (B+,B, C+, C) pula sebanyak 21 mata pelajaran menunjukkan peningkatan melebihi tiga peratus, 24 mata pelajaran adalah stabil, manakala 26 mata pelajaran menunjukkan penurunan tiga peratus ,” katanya.

Menurutnya, bagi kategori lulus (D dan E) pula sebanyak sembilan mata pelajaran menunjukkan pertambahan melebihi tiga peratus, 47 mata pelajaran pula menunjukkan stabil dan 15 mata pelajaran lagi menunjukkan penurunan melebihi tiga peratus.

Encik Hashim berkata, bagi kategori gagal (G) 25 mata pelajaran menunjukkan penurunan, 34 mata pelajaran tidak berubah dan 12 mata pelajaran menunjukkan peningkatan.