Halaman

11 March 2012

Skuad basikal sasar lima emas Sukma Pahang

Oleh: Aida Abd Rahman

Skuad berbasikal Terengganu menyenaraikan barisan pelumba terbaik bagi memastikan sasaran sekurang-kurangnya lima emas dalam genggaman pasukan itu di temasya Sukan Malaysia (Sukma) Pahang, Julai depan.

Jurulatih pasukan, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata, 10 dari 24 pelumba dipilih adalah pelumba lama, termasuklah Mohammad Adiq Husaini Othman, Mohd Zulhilmi Nafiz Amri, Nor Amirul Fakharuddin, Mohd Khairul Azizi Abdullah dan Saufian Naibih Umar Bakti.

Katanya, lima lagi merupakan pelumba wanita yang mewakili negara dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), iaitu Umi Hamimah Ahmad, Zaharah Anuar, Norain Mahmud, Nor Suhada Zainal dan Liana Atirah Zailani.

“Kita membuat pemilihan pelumba lebih awal supaya mudah mengatur persiapan menjelang Sukma Pahang nanti,” katanya .

Menurutnya, pasukannya bakal menjalani latihan intensif menerusi penyertaan di beberapa kejohanan luar negara, selain menyambung latihan selepas jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 yang melibatkan tiga sesi dari awal pagi hingga petang bermula bulan depan sebelum menyambung latihan seterusnya di Temerloh, Pahang pada Mei nanti.