Halaman

28 March 2012

Skuad 1Malaysia ‘From Hero To Zero’ di Masjid Al-Mutaqqin

Oleh FAUZI MOHD

Bertempat di Masjid Al-Mutaqqin, Kepong, Kuala Terengganu, orang ramai berpeluang menyertai pelbagai aktiviti sempena program Skuad 1Malaysia ‘From Zero To Hero’ bermula 8 pagi hingga 12 malam, 7 April ini.

Program anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Terengganu itu antara lain bertujuan untuk menangani dan menguruskan masalah penyalahgunaan dadah dalam keluarga ataupun persekitaran mereka.

Ketua Pegawai AADK Daerah, Hafiz Hassan dalam satu kenyataan berkata, program yang mensasarkan penglibatan golongan belia itu melibatkan pertandingan futsal, masakan, gubahan, kayuhan basikal fixie dan mewarna untuk kanak-kanak.

Katanya, turut dibuka kaunter pendaftaran dan semakan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) serta penglibatan pelbagai agensi termasuklah Jabatan Pengangkutan Jalan, stesen radio THR Gegar, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Shell.

Tambah Hafiz, forum ‘Kemarau Sosial, Banjir Kuda ... Dimanakah Nokhtahnya?” akan diadakan di perkarangan masjid itu pada sebelah malam.

“Kita sasarkan penglibatan menyeluruh masyarakat dari tiga buah kampung iaitu Kepong, Beladau Kepong dan Beladau Selat dan disokong oleh beberapa NGO (badan bukan kerajaan).

“Program ini diharap mampu membawa remaja akan lebih bergiat aktif dalam merencanakan program memerangi dadah dan pemimpin masyarakat mendapat input berguna untuk menghadapi permasalahan,” katanya hari ini.