Halaman

14 March 2012

Seminar fatwa dan falak-kupas isu semasa

Oleh: Aida Abd Rahman

Pelbagai topik hangat yang menjadi bualan orang ramai termasuk `mengenai kedudukan anak tidak sah taraf’ dan `kepentingan pendidikan ilmu falak’ antara isu yang akan dibentangkan dalam Seminar Fatwa dan Falak Negeri Terengganu, di Balai Orang Ramai (Balora), Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, esok (Khamis).

Selain itu, topik `kiblat dan isu-isu semasa’ juga akan dikupas dalam program yang bermula kira-kira jam 8 pagi itu.

Seminar anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dengan kerjasama Pejabat Mufti Negeri Terengganu akan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB haji Khazan Che Mat.

Pengurus Informasi, Komunikasi dan Khidmat pelanggan Ketengah, Encik Rosli Ngah, berkata program akan dimulakan dengan ucapan aluan Pengurus Besar Ketengah, Haji Wan Mat Amin Mat Daud dan diikuti ucapan oleh Mufti Negeri Terengganu, Dato’ Dr Alias Abdullah.

Katanya, pembentangan kertas kerja oleh tiga panel jemputan khas bermula sebaik sahaja selesai ucapan perasmian oleh YB Haji Khazan.

“Hadirin juga berpeluang menyertai sesi soal jawab mengenai isu agama yang akan dikupas oleh ahli panel dan pakar di bidang masing-masing khususnya melibatkan fatwa serta falak,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Antara ahli panel adalah Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu, Dato’ Ambak Ismail; Pegawai Jabatan Mufti Kedah, Haji Mohd Isa Abdul Rahman dan Pensyarah di Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Zainal Abidin, Encik Ahmad Taufan Abdul Rasid.