Halaman

26 March 2012

Rekod UPSR Terengganu bukan ‘soalan bocor’

Oleh FAUZI MOHD

Jabatan Pelajaran negeri menafikan tohmahan yang tersebar bahawa kecemerlangan yang dicapai calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Terengganu disebabkan soalan bocor.

Pengarahnya Zakaria Hussin berkata, kejayaan Terengganu mengekalkan prestasi terbaik 11 tahun berturut-turut disumbangkan beberapa faktor termasuk kerja keras guru-guru, keprihatinan ibu bapa dan kesungguhan murid.

"Ini adalah tanggapan negatif masyarakat luar yang tidak tahu betapa seriusnya jabatan dengan kerjasama erat kerajaan negeri mahu menjadikan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu dan kuasa baru dalam dunia pendidikan di Malaysia," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau yang ditemui pemberita pada hari pertama memulakan tugas sebagai Pengarah Jabatan Pelajaran yang baru berkata, dakwaan itu juga seolah-olah mempertikaikan kredibiliti Majlis Peperiksaan Malaysia serta warga pendidik di Terengganu.

Zakaria berkata, Kerajaan negeri menyediakan peruntukan yang banyak serta memberikan pelbagai kemudahan kepada pelajar di negeri ini bagi memastikan mereka berjaya dalam pelajaran.