Halaman

19 March 2012

Piala AFC : Terengganu galas harapan pada Forkey Deo

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu meletakkan harapan mereka ke atas penyerang import Francis Forkey Doe bagi membantu pasukan itu meraih kejayaan seterusnya dalam cabaran Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) esok.

Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, bermula 4.45 petang berdepan pasukan kelab dari Hong Kong, Kitchee FC.

Pengurus pasukan Terengganu, Dato’ Che Mat Jusoh berkata, skuad itu berharap Forkey Deo akan mempamerkan kebolehannya bagi menghasilkan jaringan untuk meneruskan cabaran dalam saingan Kumpulan F.

Malah beliau berkata pemain kelahiran Liberia itu yang sebelum ini dijadual mewakili pasukan negaranya ke kejohanan Liga Piala-piala negara Afrika telah mengenepikan hasrat semata-mata mahu memberi perhatian kepada pasukan skuad kendalian Mat Zan Mat Aris.

"Kita amat berbangga dan kagum dengan semangat yang ditunjukkan Doe bagi membantu pasukan Terengganu dalam cabaran Piala AFC ini,” katanya.

Katanya perlawanan tersebut merupakan perlawanan kedua bagi Terengganu selepas menang 1-0 ke atas kelab Vietnam, Song Lam Nghe An di tempat lawan pada perlawanan pembukaan 6 Mac lepas.