Halaman

25 March 2012

Penduduk Manir diminta ‘berhijrah’ undi BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib



“Berhijrahlah wahai penduduk Manir. Saya nak tengok penduduk Manir sokong BN sekali pada pilihan raya umum kali ini,” rayu Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kepada pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir.



Beliau berkata, sudah lebih 26 tahun kerusi DUN Manir dimenangi Pas, tetapi wakil rakyatnya gagal berkhidmat untuk memajukan kawasan itu, termasuk sewaktu Pas memerintah Terengganu.

“Kalau nak kira kecil hati, memang kita (BN) kecil hati kerana sudah lama kita kalah di kawasan ini, tetapi kita (BN) terus melakukan pelbagai program untuk membantu rakyat kawasan ini,” katanya ketika berucap pada majlis Pembahagian e-Book kepada plejar Tahun 4 di DUN Manir dan Bantuan Rakyat 1Malaysia , di Sekolah Menengah Kebangsaan Belara, petang ini.

Hadir sama pada majlis itu, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumner Manusia Negeri, YB Haji Ahmad Razif dan Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam.

Menteri Besar berkata, Umno dan BN banyak berjasa kepada penduduk di kawasan itu sejak dahulu hingga sekarang dan mereka perlu bersyukur dengan pemberian kerajaan.
“Apa yang wakil rakyat Pas lakukan dari dulu sampai sekarang? Kita akan buat lebih lagi jika BN menang di Manir kali ini,” katanya.

Beliau turut menjanjikan projek rumah mampu milik sebanyak 1,000 unit akan dibina di kawasan DUN Manir jika BN menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Katanya, pelbagai kemudahan yang disediakan BN di kawasan tersebut seperti klinik percuma tidak dilakukan di kawasan lain yang dimenangi oleh BN.