Halaman

27 March 2012

Pemimpin Pas pendendam

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sikap pemimpin Pas yang pendendam menjadi punca kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN) di Terengganu pada Pilihan Raya Umum tahun 2004.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata selepas menang pada PRU tahun 1999, Pas melakukan bermacam-macam kezaliman seperti menghalau kanak-kanak dari kelas-kelas tadika dan memotong elaun guru-guru agama.

“Manakala JSR (Jawatankuasa Syura Rakyat) yang diwujudkan oleh Pas bagi menggantikan JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) bertindak zalim kepada rakyat, terutama ahli dan penyokong Umno,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Silaturahim YAB Menteri Besar Terengganu Bersama Pesara Kanan Kerajaan di Kediaman Seri Iman, malam ini.

Hadir sama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Presiden Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat.

Menteri Besar berkata, berlainan pula dengan pemimpin Umno dan BN yang tidak pernah berdendam dengan rakyat negeri ini walaupun mereka pernah menyokong pembangkang hingga BN kalah di Terengganu pada 1999.

“Selepas kita menang kita lakukan pelbagai program untuk rakyat tanpa pilih kasih dan ideologi politik,” katanya.

Justeru itu, katanya, BN menang lagi pada Pilihan Raya Umum 2008 selepas berjaya menjatuhkan Kerajaan Pas pada 2004 dan pihaknya yakin BN akan meneruskan rentak kemenangan ini pada PRU Ke-13.

“Saya harap semua pesara kerajaan menyokong kerajaan BN dan sama-sama membantu menyumbang tenaga bagi memastikan calon-calon BN menang pada pilihan raya ke-13 nanti,” katanya.