Halaman

16 March 2012

Pemain Terengganu bersih, bebas rasuah : Dato' Che Mat

Oleh: Aida Abd Rahman

Pemain bola sepak Terengganu bebas rasuah, kata Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Dato’ Che Mat Jusoh.

Beliau menafikan kewujudan kegiatan menjual perlawanan di kalangan pemain skuad Penyu, malah yakin semua pemain terbabit bersih dan bebas dari masalah mengatur permainan sebagaimana dakwaan segelintir pihak yang cuba menjatuhkan moral dan semangat pemain negeri ini.

"Perkara ini dibangkitkan oleh sesetengah pihak apabila melihat prestasi pasukan Terengganu tidak menentu dalam saingan Liga Super, Piala FA mahupun Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

"Janganlah orang luar buat tanggapan negatif seolah-olah hendak menggugat prestasi pasukan kita," katanya.

Dato’ Che Mat yang juga pengurus pasukan berkata beliau yakin pemain Terengganu tidak terlibat dengan kegiatan mengatur perlawanan.

Sementara itu, tiket untuk perlawanan kedua kumpulan F AFC antara Terengganu dan pasukan kelab dari Hong Kong, Kitchee FC akan mula dijual sehari sebelum perlawanan iaitu pada 19 Mac.

Perlawanan bermula pukul 4.45 petang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 20 Mac.