Halaman

11 March 2012

Pelumba TSG galas cabaran LTdT, Taipei

Oeh: Aida Abd Rahman



Selepas mengharungi cabaran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012, dua pelumba profesional yang juga anak Terengganu bernaung di bawah Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) bakal menggalas cabaran jelajah Le Tour de Taiwan (LTdT) selama seminggu di Taipei, bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Mohd Sophian Abu Bakar berkata, mereka adalah Mohd Shahrul Mat Amin, Mohammad Saufi Mat Senan, selain diperkuatkan dengan tiga pelumba `import’, Jang Chan Jae, Kim Do Hyoung dan Shinichi Fukushima serta diiringi jurulatih kelahiran Itali, Sebastian Ducios.

“Ini merupakan penyertaan pertama TSG di kejohanan luar negara tahun ini dan kita harap akan mencapai kejayaan bagi menyuntik semangat pada kejohanan yang lain nanti,” katanya.

Mohd Sophian berkata TSG menyenaraikan 19 kejohanan luar negara dan 13 kejohanan dalam negara sepanjang 2012.

Di samping tiga pelumba asing itu, TSG musim ini dibarisi pelumba Mohd Hariff Salleh, Mohd Shahrul, Yusrizal Usoff, Mohammad Saufi, Muhamad Faiz Sharifuddin Abd Kadir, Muhammad Shobry Abdullah, Mohd Nor Umardi Rosli dan Nur Amirul Fakhruddin Mazuki.

“Kita juga mempunyai dua pelumba baru yang berasal dari Terengganu iaitu Mohd Zamri Salleh dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Mohd Saufi Anuar Aziz,” katanya.