Halaman

30 March 2012

Marang mundur dinaungi Pas

Oleh: Aida Abd Rahman

Pusat Bandar Marang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang merupakan antara bandar yang paling ketinggalan di segi pembangunan sejak 30 tahun lalu kerana berada di bawah pemerintahan pembangkang.

“Rhu Rendang antara kawasan yang paling ketinggalan dalam arus pembangunan dan segala yang dikecapi hari ini merupakan `ehsan’ daripada Kerajaan Pusat.

“Peruntukan dari aspek bantuan dan menyediakan kemudahan yang disediakan kerajaan negeri kepada rakyat mungkin sama sebagaimana kawasan lain, tetapi banyak pembangunan yang mahu dilaksanakan Kerajaan Pusat seperti Kolej Matrikulasi yang diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU )Ke-12, terbengkalai selepas Parlimen Marang jatuh ke tangan Pas,” kata Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku.


Katanya, proses menyalurkan peruntukan bagi membangunkan kolej berkenaan yang dikatakan sudah mempunyai kontraktor itu terbantut apabila Marang yang sebelum ini di bawah Kerajaan Barisan Nasional beralih kepada Pas selepas PRU 12.

Selain Kolej Matrikulasi, Pusat Kesihatan Marang, Pejabat Pelajaran Daerah Marang, Pejabat Gunasama Persekutuan, Mahkamah Majistret, Pejabat Pendaftaran Negara, Sekolah Menengah Sains dan Mini Stadium yang mana semuanya sudah ditentukan kawasan bagi pembangunan projek oleh Kerajaan Pusat itu gagal diteruskan.

“Inilah akibatnya apabila penduduk Marang sendiri yang menggadai kawasan mereka kepada pembangkang pada PRU 12 yang lalu.

“Pendek kata semua pejabat kerajaan dan agensi berkenaan sudah ada peruntukan dan tanah masing-masing, serta hanya menunggu untuk dibangunkan sahaja. Tetapi malang sekali, peranan wakil di peringkat Parlimen gagal meneruskan kesinambungan perjuangan membangunkan Marang serta Rhu Rendang sendiri,” ujarnya.

Katanya, penduduk Marang terutama Rhu Rendang perlu berubah supaya zaman kegemilangan ketika Dato’ Abdul Rahman Bakar menjadi Ahli Parlimen selama dua penggal(1999-2008), pelbagai projek Kerajaan Pusat dapat dijayakan dan dilaksanakan dengan lancar.

Sepanjang 1999-2004 pelbagai projek Kerajaan Pusat berjaya dilaksanakan di Marang termasuk Bangunan Mara, jeti pendaratan ikan, projek mendalamkan muara sungai Marang, Institut Latihan Perindustrian, Institut Latihan Belia, bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah Marang dan Institut Latihan FRU.