Halaman

21 March 2012

Maidam terima zakat daripada Etiqa

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menerima bayaran zakat perniagaan daripada Etiqa Takaful Berhad di Majlis Penyerahan Zakat di Wisma Darul Iman, hari ini.

Wakil Etiqa Ketua Pegawai Komersial, Encik Shahril Azuar Jimin menyerahkan sejumlah RM190.469.17 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman sambil disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Zakat perniagaan yang diserahkan Etiqa kepada Maidam itu merupakan antara jumlah agihan di setiap negeri. Berapa kadar agihan bergantung kepada bilangan penduduk miskin di negeri masing-masing.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pihaknya bersyukur kerana jumlah zakat perniagaan yang diterima Maidam pada setiap tahun semakin meningkat.

“Peningkatan ini membuktikan ekonomi penduduk dan syarikat perniagaan di negara ini khususnya Terengganu bertambah baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Sementara itu, Encik Shahril berkata, berdasarkan pengiraan, jumlah zakat perniagaan yang diagihkan itu boleh disumbangkan kepada kira-kira 15,000 penduduk miskin di seluruh Terengganu.

Katanya, Etiqa di bawah program `Corporate Zakat Responsibility’ (CZR) turut mengagihkan zakat perniagaan kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebanyak RM70,000 dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pula berjumlah RM32,579.93 pada tahun lalu.

“Agihan itu sebagai tanda sokongan kepada dua Institut Pengajian Tinggi itu untuk terus cemerlang dan merealisasikan hasrat kerajaan Terengganu,” katanya.