Halaman

05 March 2012

LTdL 2012 : MB saran TSG cari raja bukit

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu Cycling Team (TSG) memerlukan seorang pelumba yang memiliki kepakaran menerokai laluan berbukit sebagai persedian dalam kejohanan yang besar termasuk LeTour de Langkawi (LTdL) pada masa depan.

Justeru, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berharap TSG dapat mencari pelumba yang berpotensi untuk diserapkan ke dalam pasukan tersebut.

Menurutnya, pasukan TSG banyak kehilangan mata di situ (laluan berbukit) kerana mereka tidak ada jaguh bukit buat ketika ini..

"Jadi, saya harap TSG dapat mencari pelumba luar yang lebih baik tak kiralah dari negara manapun termasuk Venezuela ke Itali ke.

"Pada masa yang sama, kita juga merancang untuk menambah penyertaan pasukan ini dalam kejohanan besar di luar negara selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis makan malambagi meraikan petugas LTdL di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk kelmarin.

Dato’ Seri Ahmad ketika ditanya berhubung insentif yang bakal diterima pelumba negeri termasuk Mohd. Harrif Salleh yang berjaya menaiki podium untuk tempat ketiga dan kedua di Muar serta Kijal, beliau berkata, Kerajaan negeri telahpun menyediakan habuan untuk atlet yang beraksi cemerlang.

"Kerajaan Terengganu ni pemurah, kalau mereka (atlet) beraksi dengan baik, mereka tak mintak (habuan) pun kita akan bagi.

"Apa yang penting ialah, mereka kena tunjuk kemampuan masing-masing dulu dan kita akan nilai berdasar pencapaian mereka,” katanya.

Malah beliau berkata, Kerajaan negeri juga akan menyediakan peruntukkan berupa ‘duit poket‘ kepada mana-mana atlet kita yang layak ke Sukan Olimpik di London selepas ini.