Halaman

31 March 2012

Kongsi idea pendidikan, antarabangsakan pelajar: MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Program penempatan pelajar Jepun dari kelab Hippo bersama keluarga angkat di negeri ini diharapkan dapat mencetus perkongsian kebudayaan dan idea dalam bidang pendidikan sekaligus mengantarabangsakan pelajar Terengganu.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata walaupun kedatangan mereka ke negeri ini hanya dalam tempoh yang singkat, tetapi ia memberi impak yang amat besar terutama dalam aspek kebudayaan dan juga pendidikan.

“Mereka dapat mempelajari dan mengenali budaya tempatan, melalui usahasama ini juga memberi kesan jangka masa panjang kepada peserta dan juga Terengganu khususnya.


“Justeru itu, saya yakin program ini dapat meninggalkan kenangan manis kepada para peserta yang terlibat dan juga dapat berkongsi pengalaman dengan keluarga serta rakan-rakan sekembali ke rumah (negara asal) mereka kelak. Malah, kita berharap mereka akan berkunjung lagi ke Terengganu,” katanya di Majlis Perasmian Penutupan Program Homestay Hippo Club Jepun Terengganu 2012 di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat negeri Terengganu (Serikandi), To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Hashim Mohd Zin dan Ketua Koordinator program, Hatsugo Hatano.

Menteri Besar turut berterima kasih kepada Kementerian Pelajaran kerana memilih negeri ini sebagai destinasi kelima selepas Selangor, Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2001.

Sepanjang program peserta dibawa melawat ke pusat pertukangan bot tradisional di Pulau Duyong, Kota Lama Pulau Duyong, Taman Tamadun Islam (TTI), Muzium Terengganu sebelum menyertai permainan tradisional di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail di Telaga Batin.

Sementara itu, seorang peserta, Jonpei Ohasyi, 11 berkata, dia teruja dan sangat seronok menyertai program ini, malah tidak menolak untuk terus mengunjungi negeri ini lagi kelak.

“Saya mendapat pengalaman baru melalui lawatan ini dan pertama kali memakai baju Melayu beserta dengan samping dan songkok. Selain itu, saya berpeluang mendapat keluarga angkat yang baik,” katanya.

Seramai 35 pelajar serta tiga guru pengiring dari Jepun berkampung selama seminggu di Terengganu bermula 25 Mac lalu menerusi Program Homestay Pelajar Antarabangsa Jepun ke Malaysia.

Program kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kelab Antarabangsa Hiroshima bagi bertukar pengalaman berkaitan sistem pendidikan sekali gus membina rangkaian persahabatan sejagat.

Peserta program tinggal bersama keluarga angkat di Terengganu yang terdiri daripada guru Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman I, Kuala Terengganu dan Serikandi.