Halaman

28 March 2012

Klinik C & CIM tarik minat 13,000 penagih dadah

Oleh: Mohammad Ishak

Penubuhan Klinik Cure and Care 1 Malaysia (C&C1M) membabitkan lapan lokasi di seluruh Negara sejak 2006 berjaya menarik lebih 13,000 penagih yang datang secara sukarela bagi mendapatkan rawatan dengan lebih efektif .

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADDK) Puan Sri Datuk Zuraidah Mohamed berkata konsep yang digunakan oleh C&C1M lebih disukai para penagih berbanding dengan rawatan yang dibuat di 28 buah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) yang penagih diambil bukan atas dasar sukarela tetapi bagi mematuhi perintah mahkamah.

Katanya, rawatan yang diberikan di C&C1M lebih terbuka dan lebih dipersetujui penagih yang datang sendiri bagi mendapatkan rawatan secara perubatan dengan bantuan para doktor perubatan termasuk oleh para psaikatrist.

“ Mengikut kajian yang dilakukan, cara rawatan di PUSPEN didapati kurang berkesan yang kadangkala menimbulkan pelbagai masalah sampingan termasuk rusuhan dikalangan penagih”, katanya ketika hadir memberi penerangan kepada Ahli Lembaga Pelawat PUSPEN Besut di sini PUSPEN Besut di Kampung Raja di sini, semalam.

Zuraidah berkata, kelebihan C&C1M juga ialah ia mempunyai kemudahan bagi rawatan untuk penagih dari semua jenis dadah termasuk menghidu gam untuk tempoh 1 hingga 3 bulan sahaja.

Katanya, daripada beberapa Klinik C&C1M yang diwujudkan didapati kedatangan para penagih memberangsangkan dengan turut disertai kaum keluarga masing-masing.

“ C&C1M juga akan mendapatkan bantuan daripada para doctor swasta dan persendiri di masa depan sekiranya konsep rawatan melalui Klinik C&C1M mendapat sambutan daripada masyarakat yang memerlukan”, katanya.

Katanya, berbeza dengan PUSPEN mereka yang datang ke C&C1M terdiri daripada mereka yang hendakkan rawatan berbanding dengan PUSPEN yang kadangkala menunjukkan terdapat penagih yang datang berulang-ulang kali sehingga 10 kali.

Menurutnya, kajian daripada WHO termasuk UN juga mendapati pengamalan C&C1M mendapat pengiktirafan sebagai baik dan positif.