Halaman

27 March 2012

Kerajaan tidak akan layan desperado

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menegaskan kerajaan tidak akan melayan sikap desperado parti pembangkang yang tidak berhenti memburukkan kerajaan di mata rakyat, sebaliknya akan terus memberi perhatian serius demi kejayaan pelajar di negeri ini.

“Pemimpin pembangkang tidak akan mengiktiraf usaha dan pengorbanan yang kerajaan buat untuk rakyat di negeri ini walaupun membabitkan masa depan anak-anak mereka sendiri, “ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Penyerahan e-Book kepada pelajar Tahun Empat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu hari ini, sebagai mengulas tuduhan pihak pembangkang kononnya berlakunya soalan bocor dalam peperiksaan awam tahun lalu yang membawa kepada kejayaan negeri mengungguli keputusan cemerlang setiap tahun.

Hadir sama Pengerusi jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Dato’ Toh Chin Yaw dan Ketua Sektor Pendidikan Jabatan Pelajaran, Haji Mohd Zubir Embong.

“Saya kesal bila ada tuduhan yang tidak berasas dikeluarkan pemimpin pembangkang, sedangkan kerajaan melabur ratusan juta ringgit untuk pembangunan pendidikan di negeri ini,” katanya.

Katanya, pembangkang telah menafikan pengorbanan guru-guru, ibu bapa dan pelajar yang berusaha keras bagi memastikan kejayaan dalam setiap peperiksaan umum dihadapi.

“Mereka (pembangkang) hanya mencari modal politik tanpa memikirkan kesan yang dirasai anak-anak kita yang belajar siang malam untuk berjaya,” katanya.

Menteri Besar berkata, jika benar berlaku soalan bocor, tentu pelajar di negeri ini mendapat 100 peratus A dan tidak timbul orang itu dapat dan orang ini tidak dapat.

Pada majlis itu, seramai 667 pelajar Tahun Empat dari tujuh sekolah rendah dalam DUN Bandar menerima pemberian e-Book yang disampaikan Menteri Besar.