Halaman

23 March 2012

Kelab Veteran MAYC Terengganu akan dilancar

Oleh; Esah Abdullah

Kelab Veteran MAYC Malaysia mensasarkan paling kurang 500 orang ahli disetiap negeri bagi mengerakkan kelab berkenaan membantu kerajaan meneruskan Gagasan 1Malaysia.

Presidennya, Datuk Nasir Safar berkata, sehingga ini lima negeri telah berjaya menubuhkan kelab itu di negeri Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Wilayah Persekutuan.

“Kita sedang mencari tarikh sesuai untuk mengadakan majlis pelancarannya di Terengganu diikuti, Perak, Pulau Pinang dan Pahang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Wacana Terengganu Negeri Anjung Ilmu baru-baru ini.

Katanya, pihaknya berharap dapat menghimpunkan semua bekas-bekas pemimpin MAYC di seluruh negeri untuk mengeratkan persahabatan yang semakin jauh dan hambar kerana telah membawa haluan masing-masing.

“Kita bercadang untuk mengadakan majlis penghargaan kepada yang lama berkhidmat disamping memberi sumbangan kepada ahli yang uzur,” katanya.

Katanya, beberapa agenda telah dirangka terutama yang menjuruskan kepada usaha membantu kerajaan menjelaskan isu-isu berbangkit serta mengembalikan identiti orang Melayu yang dilihat semakin bercelaru .

Tambahnya, MAYC mempunyai ramai bekas pemimpin yang berpengalaman dan mereka tentunya bersedia memberi khidmat demi memantapkan perpaduan kalangan masyarakat hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya dijangka dapat melancarkan penubuhan kelab itu di negeri ini pada April depan namun tarikh belum ditetapkan.