Halaman

18 March 2012

K1M jadi agen perubahan

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) percaya dengan penubuhan Komuniti 1Malaysia (K1M) di setiap mukim di Terengganu bukan saja mampu memperkasakan semangat perpaduan antara pelbagai kaum malah berupaya memupuk semangat tolenrasi.

Pengarah JPNT, Puan Azizah Awang, berkata pihaknya berusaha mewujudkan pelbagai program semata-mata mahu melihat masyarakat pelbagai kaum hidup harmoni dan semangat kerjasama.

“Penubuhan K1M antara matlamat yang diusahakan bertujuan membentuk rakyat bermaklumat selain menjadi agen perubahan dalam komuniti,” katanya ketika berucap di Seminar Pemantapan Pengurusan Komuniti 1 Malaysia (K1M) di Dewan Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu, malam semalam, (16 Mac).

Seminar yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu dihadiri kira-kira lebih 200 peserta.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut menyampaikan komputer riba 1 Malaysia kepada setiap wakil atau pengerusi K1M yang hadir pada seminar itu.

Puan Azizah turut memberitahu, JPNT memperuntukkan lebih RM300,000 bagi mengerakkan 85 K1M di Terengganu supaya aktif mewujudkan aktiviti dan menyalurkan maklumat kepada mereka yang berkenaan.

“Daripada jumlah itu, setiap K1M yang mempunyai bilangan seramai 35 hingga 40 ahli layak memperoleh perutukan sebanyak RM3,650.

K1M adalah pertubuhan sukarela rakyat di peringkat akar umbi di mana ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang berada di setiap mukim.

Ia memainkan peranan penting bagi menyampaikan berita dan maklumat berkaitan dasar kerajaan secara berkesan kepada masyarakat setempat.