Halaman

09 March 2012

JKNT tangani masalah denggi

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memandang serius peningkatan kes denggi di negeri ini walaupun tiada kes kematian dilaporkan.

Peningkatan kes berlaku di empat daerah iaitu Setiu yang bertambah lima kes diikuti Hulu Terengganu (lima kes), Kemaman (tiga kes) dan Dungun (tiga kes).

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Anwa Sulaiman memberitahu, ketika ini sembilan lokaliti berlaku wabak itu hanya dikesan di daerah ini dengan tiga daripadanya masih aktif iaitu enam kes di Jalan Sekolah Kebangsaan Cendering dan Kampung Raja Cendering serta Taman Tok Jembal masing-masing dua kes.

''Secara keseluruhannya kes denggi di seluruh negeri mencatatkan penurunan sebanyak 17 kes (8.1 peratus) iaitu 193 kes dari Januari hingga 4 Mac lalu berbanding 210 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Untuk tahun ini, jelasnya, 176 kes adalah demam denggi manakala 17 kes demam denggi berdarah dilaporkan berbanding 161 kes demam denggi dan 49 kes demam denggi berdarah tahun lalu.

"Dari segi majoriti, 87 kes (15 peratus) berlaku di daerah Kuala Terengganu disusuli Dungun (29 kes), Besut (21 kes), Kemaman (21 kes), Hulu Terengganu (15 kes), Setiu (11 kes) dan Marang (sembilan kes)," katanya.

Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, Anwa berkata, pihaknya telah memeriksa 28,225 buah premis bagi membasmi pembiakan jentik nyamuk aedes.

Daripada jumlah itu, jelasnya, 208 premis didapati positif membiak jentik-jentik aedes dan setiap premis tersebut dikompaun RM500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (pindaan 2000).

"Nilai kompaun yang kita keluarkan adalah RM104,000 selain 1,869 amaran atau notis pembersihan juga dikeluarkan ke atas premis yang tidak menjaga kebersihan," katanya.