Halaman

30 March 2012

JHEAT pantau ajaran sesat

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JEHAT) sentiasa memantau kegiatan ajaran sesat, termasuk Ajaran Ayah Pin, bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab dalam mengajar ajaran sesat tidak memesongkan umat islam.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Agama Negeri, YB Haji Kazan Che Mat, berkata pihaknya mengawasi kawasan yang dikenalpasti berlaku kegiatan itu dan akan mengambil langkah sewajarnya bagi membendungnya daripada menular ke kawasan lain.

Beliau berkata, kes Ajaran Sesat Ayah Pin mendapat perhatian JHEAT dan pihaknya mendapat laporan pengasas ajaran tersebut kini tidak sihat dan pulang ke kampungnya di Batu 13, Hulu Besut, setelah sekian lama menghilangkan diri akibat diburu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, katanya, JHEAT atau pihak berkuasa masih belum menemui pemimpin Kerajaan Langit itu bagi membolehkan beliau ditahan untuk siasatan lanjut.

“Setiap kali penguatkuasa JHEAT atau polis pergi ke Perkampungan Ayah Pin, mereka masih belum menjumpainya,” katanya ketika mengulas desas desus Ayah Pin kini kembali ke kampung tersebut dan lumpuh separuh badan selepas menghidap angin ahmar.

YB Kazan berkata, siasatan di perkampungan itu mendapati masih ada pengikut Ayah Pin tetapi ajaran itu sudah tidak aktif dan samar-samar.

“Kita akan terus memantau keadaan ini dan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba menghdupkan Ajaran Ayah Pin atau mana-mana ajaran sesat bagi menjaga kesucian Islam,” katanya.