Halaman

28 March 2012

JANJI PAS: Air percuma, Terengganu kering kontang

Oleh: Aida Abd Rahman

“PAS menang PRU 13, air percuma 20 meter padu setiap bulan” menarik sekali bunyi Manifesto Pas Terengganu.

Janji palsu itu merupakan sebahagian usaha parti pembangkang itu untuk memancing undi dari penduduk negeri ini supaya menyebelahi mereka.

Tidak sukar menaikkan banting, kain rentang, menghebahkan pelbagai risalah atau Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang mengandungi kenyataan seumpama itu bagi tujuan mempengaruhi pengundi supaya ‘memangkah’ calon Pas atau Pakatan Rakyat, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Sememangnya pemimpin dan penyokong Pas semakin terdesak dengan kebangkitan Umno dan Barisan Nasional yang kian memuncak, lalu mereka melakukan tindakan mereka-reka pelbagai janji palsu bagi meraih sokongan pengundi.

Sandiwara yang sedang dimainkan pembangkang sedang ditonton ramai, ada yang memahami lakonan mereka, tidak kurang yang hanya menonton, namun tidak mampu menterjemahkan maksud sandiwara itu.

Antara dialog dalam sandiwara yang dilontarkan mereka itu termasuk perihal `percuma 20 meter padu air kepada penduduk setiap bulan, andai Pas memenangi PRU’. Ibarat menjanjikan bulan, bintang namun kesudahannya `hampas’ belaka kerana Pas sudahpun meninggalkan `debu kotoran’ itu ketika rakyat memberi peluang memerintah Terengganu suatu masa dulu(1999-2004).

Menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, janji palsu Pas bagi menyediakan air percuma berjumlah 20 meter padu itu bersamaan dengan penjimatan RM11 sebulan ataupun RM133 untuk tempoh setahun.

Penjimatan itu pastinya memberi faedah dan memang rakyat mahukan, namun kesan tindakan itu memberi impak negatif kepada negeri dan rakyat, di mana akhirnya `air kering’ dan Terengganu berdepan isu kekurangan bekalan air yang begitu meruncing sebagaimana negeri-negeri lain yang dikuasai pembangkang termasuk Kelantan.

“Sebab dulu ketika Terengganu diperintah oleh Pas juga masalah berhutang air yang merangkumi tiga kategori, pertama mewujudkan kawasan industri; kedua, membuat rumah kos rendah (untuk rakyat)dan ketiga, bekalan air.

“Sekarang saya jadi Menteri Besar pada tahun keempat, Terengganu tidak berhutang satu sen pun untuk membangunkan kawasan industri..tidak berhutang satu sen pun untuk membangunkan rumah kos rendah kepada rakyat yang kini sudah menghampiri 7,000 unit dengan perbelanjaan hampir RM700 juta,” katanya.

Menteri Besar juga akan memastikan dalam tempoh lima tahun sebanyak 10,000 unit rumah akan dibangunkan merangkumi 2,000 unit pada tahun ini dan ditambah lagi pada tahun depan.

“Insya-Allah keseluruhan akan mencapai 10,000 unit rumah dengan peruntukan mencecah RM1.3 bilion untuk menyediakan rumah kepada rakyat Terengganu. Pada masa yang sama juga, air kekal kita tidak berhutang. Tahun ini perbelanjaan RM70 juta, tahun lepas RM80 juta.

“Jika hendak tukar paip kita hok zaman sebelum merdeka dan selepas merdeka kita memerlukan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM2.3 bilion,” katanya.

Justeru itu, rakyat negeri ini tidak wajar membiarkan diri mereka dipengaruhi oleh
Pas yang sejak dulu lagi terkenal dengan sikap gemar berjanji, tetapi tidak pernah menunaikannya kerana setiap yang disogokkan itu tidak bersandarkan kelogikan langsung.