Halaman

22 March 2012

iSHARP sasar 81 peratus eksport udang ke Jepun

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan melepaskan anak udang ketika mencemar duli mendengar taklimat operasi iSHARP di Setiu, Terengganu.

Oleh FAUZI MOHD

Gambar oleh Mohd Yahya Muda

Blue Archipelago Berhad yang memajukan penternakan udang putih di Ladang Akuakultur Udang Bersepadu (iSHARP) di Kampung Nyatuh, Setiu mensasarkan 81 peratus hasil pengeluarannya dieksport ke negara Jepun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abu Bakar Ibrahim berkata, selain faktor permintaan yang tinggi, Jepun antara negara yang menempah udang tanpa kepala dan kulit.

Faktor itu katanya, membawa kepada kewujudan industri hiliran kepada usahawan tempatan dengan membuka kilang pemprosesan lain pada masa depan.

“Sisa kulit dan kepala udang boleh diprosesuntuk dijadikan baja. Tapi, ia perlu kajian mendalam dari pelbagai sudut termasuk teknologi dan pasaran jika ada minat daripada pengusaha tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan taklimat operasi iSHARP sempena keberangkatan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah ke ladang itu hari ini.

Mengiringi baginda berdua, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Asha’ari Idris dan kenamaan lain.


Tambah Abu Bakar, Terengganu bakal menjadi pengeluar udang putih terbesar negara apabila projek iSHARP beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

Beliau berkata, dalam tempoh percubaan ini, ladang seluas 1,000 hektar itu sudah mengeluarkan hasil sehingga enam tan, iaitu lebih satu tan daripada sasaran awal.

“Menerusi fasa pertama, 216 kolam ternakan akan beroperasi sepenuhnya tahun ini dengan kapasiti pengeluaran 2,100 tan udang setahun dan menjelang tahun 2013, sebanyak 400 kolam akan dibina.

"Apabila beroperasi sepenuhnya pada 2013, iSHARP mampu menyediakan sehingga 1,200 peluang pekerjaan terutamanya kepada anak tempatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, ladang iSHARP dibangunkan Blue Archipelago, anak syarikat Khazanah Nasional Berhad khusus untuk menternak udang secara teratur dan terkawal.

Katanya, kewujudan projek itu antara lain bagi menyuburkan perkongsian swasta, kerajaan negeri dan persekutuan bagi merancang gugusan akuakultur udang secara moden.

“Fasa kedua tahun hadapan, iSHARP akan mempunyai 400 kolam ternakan udang yang mampu menghasilkan 3,920 tan udang setahun.

“Apabila siap sepenuhnya, hasil pengeluaran iSHARP dijangka mencecah nilai pasaran RM78 juta setahun dan udang ini turut dieksport ke Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah,” katanya.

Katanya, pusat pembenihan udang di ladang itu mampu mengeluarkan satu bilion benih udang setahun, cukup untuk menampung keperluan iSHARP dan penternak kecil di Pantai Timur.

"Pada masa ini, 48 kolam telah mengeluarkan hasil udang dan seramai 108 pekerja telah memulakan tugas di iSHARP dimana 85 peratus daripada mereka adalah anak Terengganu.

"Pekerjaan yang diwujudkan itu mampu menjana pendapatan RM12 juta setahun dan secara langsung mampu meningkatkan kegiatan ekonomi penduduk setempat,” ujarnya.