Halaman

14 March 2012

Inspirasi Dato' Razali pacu sektor pendidikan : YB Ahmad Razif

Oleh: Aida Abd Rahman

Sektor pendidikan di Terengganu membawa inspirasi Allahyarham Dato’ Razali Ismail, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman.

YB Ahmad Razif yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Pengurusan Kolej Universiti Tati (TATiUC) berkata, perjuangan Allahyarham (Dato’ Razali) (bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu merangkap Timbalan Menteri Pelajaran) dalam memartabatkan sektor pendidikan menjadi inspirasi kepada beliau selaku exco yang mengetuai bidang itu di negeri ini.

“Arwah menjadi idola kepada kita semua dan kita harus meneruskan kesinambungan perjuangan beliau yang belum diselesaikan.

“Oleh itu, kita memerlukan sokongan padu semua pihak dan harus saling bergandingan bagi meneruskan kesinambungan perjuangan beliau, khususnya dalam setiap amalan serta dasar yang ditetapkan oleh kerajaan demi memperkasakan pendidikan negeri,” katanya di Majlis Makan Tengahari Bersama Kaunselor Daerah Setiu, di Sutra Beach Resort, Setiu, baru-baru ini.

Katanya, ketika hayat Allahyarham, YB Haji Ahmad Razif berpeluang mencontohi dan mengikuti cara kerja selain berbincang mengenai uasaha memajukan pendidikan Terengganu berdasarkan pengalaman luas arwah dalam sektor itu.

Beliau berkata, arwah juga pernah meminta menemani beliau menghadiri satu perjumpaan untuk membincangkan isu pendidikan peringkat nasional di luar Terengganu bagi memberi pengalaman dan pendedahan kepada beliau.

YB Ahmad Razif berkata, arwah juga dikenali sebagai pemimpin yang serius, komited dan memiliki buah pemikiran yang kreatif dalam memacu pendidikan selain gigih untuk menjadikan Terengganu negeri yang hebat dalam pembangunan modal insan.

Dalam pada itu, YB Haji Ahmad Razif juga meminta semua pihak mengenepikan fahaman politik demi memajukan sektor pendidikan negeri.

“Jika melibatkan aspek pelajaran, soal pelajar..kita haruslah seia-sekata serta perlu sama-sama berjuang sama ada masa dan jiwa raga demi melihat bangsa dan negara kita maju..imej negara dan rakyat kita sentiasa dipandang tinggi kerana ramainya golongan cerdik pandai,” katanya.

Allahyarham Dato’ Razali meninggal dunia pada 28 November 2008 di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland, Pahang ketika berumur 59 tahun.

Pada 16 Januari 2009, hasrat kerajaan bagi mengabadikan Allahyarham Dato' Razali dengan jasa serta sumbangan beliau kepada anak didik Terengganu, Dato’ Seri Najib Abdul Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) merasmikan nama Institusi Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato' Razali Ismail dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Razali Ismail, Kuala Terengganu.

Allahyarham memulakan kerjaya sebagai guru, selain menjadi pensyarah di beberapa buah maktab perguruan sebelum dilantik sebagai timbalan pengetua di Maktab Perguruan Kota Bharu, diikuti Pengetua Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu dan kemudiannya di Maktab Perguruan Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, sebelum menjadi Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran (2002)

Bertanding pada Pilihan Raya Umum 2004 dan menewaskan penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas). Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional(PTPTN).