Halaman

27 March 2012

Exco janji bantu dua nelayan Pulau Perhentian yang hilang rumah



Oleh: Mohammad Ishak


Nasib malang yang menimpa dua penduduk Pulau Perhentian, dekat Kuala Besut, yang kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka hangus dijilat api malam semalam mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar.

Dr A Rahman yang juga ADUN Kuala Besut, hari ini melakukan lawatan mengejut dan menemui dua mangsa berkenaan dan berjanji akan membantu masalah dihadapi termasuk membawa kes terbabit pada mesyuarat Exco di Kuala Terengganu esok.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam semalam dua mangsa terbabit ialah Abdullah Omar,55, dan Mat Sarah Hamzah,46, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah terbakar.

Ketika melawat tempat kejadian hari ini Dr A Rahman berkata, masalah kes kebakaran di pulau peranginan itu berisiko tinggi kerana kedudukan rumah penduduk berdekatan antara satu sama lain.

Katanya, dalam kejadian itu penduduk berhampiran masih bernasib baik kerana rumah mereka tidak dijilat api selepas penduduk bertungkus lumus menyimbah air menggunakan baldi bagi memadam kebakaran dan mengelak menyambar rumah berdekatan.

Berikutan kejadian itu, penduduk pulau dan Pergerakan Pemuda Umno Kuala Besut melakukan kutipan derma kilat untuk membantu mangsa terbabit yang kehilangan harta benda termasuk tempat tinggal.


Dr A Rahman berharap pihak terbabit termasuk TNB, Satu dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan segera bagi membantu mangsa dan penduduk yang terjejas dengan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik akibat kerosakan bencana itu.