Halaman

03 March 2012

BR1M Terengganu RM87 juta

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Lebih RM87 juta diperuntukkan Kerajaan Pusat untuk diagihkan kepada hampir 175,000 orang yang layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di seluruh negeri Terengganu.

Sehingga ini, kira-kira 80 peratus daripada penerima bantuan RM500 setiap orang, sudah menerima bantuan masing-masing manakala selebihnya akan mendapat habuan mereka tidak lama lagi.

Sebahagian daripada penerima BR1M, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan Batu Buruk, menerima bantuan itu ketika lawatan kerja Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, ke Terengganu, baru-baru ini.

Manakala sebahagian lagi penerima akan mendapat habuan masing-masing ketika kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, ke Terengganu pada 1 Mac depan.

Bagi negeri Terengganu, pengagihan BR1M yang bertujuan meringankan beban penduduk negara ini yang berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah itu dibahagikan kepada empat kumpulan.

Semua penduduk di negeri ini yang layak, diberi bantuan itu tanpa mengira fahaman politik bagi memastikan mereka menikmati pemberian kerajaan secara adil dan saksama.
Kumpulan pertama yang berjumlah 75,485 orang, melibatkan bayaran sejumlah RM37,742,500 sudah pun menerima wang masing-masing dalam beberapa majlis yang diadakan secara berasingan di seluruh negeri.

Manakala kumpulan kedua yang melibatkan 42,377 orang penerima (RM21,188,500) juga sudah menerima bantuan tersebut, baru-baru ini.

Pada masa ini pembayaran sedang dilakukan bagi kumpulan ketiga melibatkan 6,729 orang penerima (RM3,364,500) dan proses pembayarannya dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Bagi kumpulan keempat yang melibatkan lebih 6,000 orang penerima di seluruh negeri Terengganu, proses pembayaran akan dilakukan tidak lama lagi dan dijangka berakhir pertengahan Mac depan.

Bantuan tersebut disediakan khusus Kerajaan Pusat yang prihatin dengan nasib rakyat, khusus bagi membantu meringankan beban mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana, terutama yang mempunyai tanggungan besar.