Halaman

13 March 2012

Baiki, naik taraf surau sekolah RM4 juta

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu menerima peruntukan RM4 juta bagi membaiki dan menaik taraf 52 surau sekolah rendah dan menengah di luar bandar seluruh daerah menerusi Program Transformasi Luar Bandar sepanjang tahun ini.

Projek pembiayaan Kerajaan Pusat yang disalurkan menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Terengganu akan dilaksanakan bermula bulan depan.

Pengarah JPP Terengganu, Haji Ahmad Sharom Yasin, berkata pelaksanaan setiap projek itu akan bermula tidak lama lagi berikutan waran peruntukan sudah dikeluarkan JPP kepada Kementerian Pelajaran.

“Waran (peruntukan) sudah dikeluarkan kepada Kementerian Pelajaran dan urusan itu sudah boleh diambil tindakan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT).. yang mana pada bulan depan akan keluarkan tender untuk melaksanakan kerja itu,” katanya ketika sidang media sempena Program Bicara Media Bersama Pengarah JPP anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Ukom, Tuan Haji Shamsuddin Sulong dan Penolong Pengarah JPP Terengganu, Mohammad Zaidad Abdul Samat.

Katanya, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) akan mengeluarkan tender selepas selesai mengenal pasti sekolah terlibat selain peruntukan sebenar yang diperlukan bagi menjalankan kerja menaik taraf dan membaiki setiap surau berkenaan.

Selain itu, katanya menerusi JPP juga, projek yang menjadi tumpuan dan baru sahaja diumumkan Timbalan Perdana Menteri ketika kunjungan ke Terengganu 1 Mac lalu adalah pembinaan sekolah sukan kedua di negeri ini bernilai RM25 juta yang akan dibangunkan di Gong Badak, Kuala Terengganu bermula bulan depan.

“Projek menyiapkan sekolah sukan yang diputuskan dalam Rancangan Malaysia ke-10 bermula 2011 hingga 2015 ini termasuk dalam `rolling plan’ dengan jumlah peruntukan bagi tempoh dua tahun sebanyak RM25 juta,” katanya.