Halaman

27 February 2012

YPU bantu promosi produk usahawan IKS

Oleh: Suriati Ali,Aida Abd Rahman dan Fauzi Mohd

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) tanpa jemu membantu ratusan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri ini mempromosi pelbagai jenis produk keluaran mereka di seluruh negeri dan luar negara.

Pendekatan seumpama itu bukan saja mampu menaiktaraf ekonomi pengusaha tempatan, tetapi mampu memperkenalkan produk seperti batik, songket, kain sutera, tembaga dan puluhan makanan tradisional Terengganu di serata tempat.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik, berkata pelbagai usaha dan pendekatan dilaksanakan bagi melihat produk IKS Terengganu terus mendapat permintaan pelanggan secara lebih meluas.

“Promosi melalui kaedah laman sesawang, `, rangkaian perniagaan T’Shoppe dan Terengganu Showcase’ memberi kesan membanggakan apabila terdapat pelanggan berhubung terus dengan pengusaha setiap kali ingin membeli produk secara borong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mesra Media Bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah SKM Terengganu, Encik Osman Ismail dan Presiden Kelab Wartawan Terengganu, Encik Ayob Mamat.

Haji Azmi turut memberitahu kerajaan negeri melalui YPU sentiasa berusaha membawa usahawan tempatan ke peringkat antarabangsa termasuk menyertai Gulfood Exhibition bagi memperkenalkan produk makanan negeri ini di Dubai World Trade Centre.

“Hasil penyertaan itu, sejumlah 120 pertanyaan perniagaan diterima melibatkan syarikat IKS Terengganu yang menyertai program itu.

“Pembeli berpotensi termasuk dari UAE, Kuwait, Iraq, Angola, India, Pakistan dan Switzland. Malah, tindakan susulan sudah dilaksanakan dengan kerjasama YPU, Pejabat
MATRADE di Dubai dan usahawan berkenaan,” katanya.

Beliau juga berharap lebih ramai usahawan IKS menyertai program peringkat antarabangsa kelak berikutan banyak pengusaha IKS berpotensi untuk menempatkan produk mereka di luar negara.