Halaman

14 February 2012

Minta tarik balik tuduhan : Adun Paka

Oleh: Aida Abd Rahman

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, YB Zakaria @ Ariffin Abdullah mendesak Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Saiful Bahri Mamat supaya menarik balik tuduhan mengatakan beliau`melarikan diri’ ketika pihak pembangkang mahu menyerahkan satu memorandum di Pejabat Adun Paka berhubung isu rampasan tanah Sekolah Rendah Islam Darul Bayan (SRIDB), Paka, kelmarin.



YB Zakaria bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin pembangkang itu jika tuduhan berkenaan gagal ditarik balik.

“Dia menuduh suatu perkara yang memalukan saya, dan kita boleh mempertimbangkan untuk mengambil tindakan mahkamah. Kita beri tempoh kepada mereka seminggu..tujuh hari (menarik balik tuduhan itu),” katanya ketika sidang media di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau tidak melarikan diri tetapi ke satu pusat pelancongan di Paka kerana memenuhi satu temujanji dengan pihak lain.

Katanya, pemimpin dan ahli Pas sentiasa bersangka buruk dengan orang lain walaupun pakaian serta penampilan mereka menggambarkan cara kehidupan dan sikap mengikut Islam.

Malah, sebelum kejadian itu juga, beliau sudah menerima maklumat daripada pihak berkuasa bahawa demonstrasi itu hanya boleh dilakukan di kawasan SRIDB dan bukan berarak keluar dari kawasan berkenaan untuk ke Pejabat Adun.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya (saya melarikan diri), bahawa se nya apa yang saya difahamkan pada hari demonstrasi ini oleh pihak berkuasa, demonstrasi ini hanya dibenarkan di dalam kawasan Darul Bayan (sekolah rendah mereka) sahaja.

“ Tidak sesekali diberi kebenaran untuk terus berarak di Pejabat Adun Paka. Jadi, saya tidak pernah dimaklumkan ada tujuan ke pejabat saya untuk menyerahkan memorandum, yang dikatakan JKKK merampas tanah SRIDB ini,” kata beliau lagi.

Untuk rekod, SRIDB yang ditubuhkan pada 2001 atas tanah kerajaan dan berstatus haram. Tanah bangunan sekolah ini pernah diluluskan oleh Kerajaan Pas pada 2003 dalam bentuk permohonan pendudukan sementara (Tol) dan mereka hanya pernah membayar Tol sekali sahaja rkali sahaja kepada kerajaan negeri pada ketika itu.

Kerajaan negeri yang mengambil alih pentadbiran pada 2004 dan membahagikan tanah yang tidak melibatkan langsung kawasan SRIDB itu kepada lima penduduk termasuk JKKK yang didakwa oleh pembangkang sebagai merampas tanah SRIDB.

Tanah yang dibahagikan itu berada di luar daripada kawasan SRIDB dan merupakan tanah hak milik peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kolam Permai yang diluluskan sejak 1997.

Seterusnya pada 2001 Kerajaan Pas mengeluarkan 34 lot Tol kepada peserta RTB Kolam Permai dan hanya tujuh lot yang dikosongkan (lot yang didakwa pembangkang dirampas JKKK), disebabkan di atas lot ini terdapat pembinaan secara haram termasuk rumah yang dibangunkan penduduk Paka.

Penduduk yang tinggal secara haram itu dipindahkan ke penempatan di Kampung Telaga Mas, Paka.

Sementara itu, pada 2011, Adun Paka memohon pihak berkuasa melakukan penguatkuasaan berhubung perkara itu bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tanah kepada peserta yang layak di RTB Kolam Permai itu.