Halaman

06 February 2012

T-Team uji empat pemain import ganti tempat Simukonda

Oleh FAUZI MOHD

T-Team telah menguji empat pemain asing dalam pencarian untuk mendapatkan pemain import yang berkualiti bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Jurulatihnya, Yunus Alif berkata, pemilihan kali ini diharap dapat menemui pemain yang benar-benar berkualiti dan berwibawa bagi menggantikan pemain import Zambia, Zacharia Simukonda, yang telah digugurkan.

Beliau berkata, empat pemain yang diuji adalah dari Bosnia-Herzegovina, England, Mali dan Sierra Leone.

Yunus berkata, Rabu ini, T-Team akan bertemu Negeri Sembilan di Paroi dan beliau berharap salah seorang daripada pemain import itu akan menambat hati untuk membantu pasukan dalam perlawanan itu nanti.

"Kalau tidak, kita terpaksa menunggu empat bulan lagi untuk mencari pemain import apabila pendaftaran baru pemain import dibuka,” katanya.

Yunus berkata, kelab itu tidak terburu-buru mencari pemain import memandangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan 12 Februari ini sebagai tarikh akhir pendaftaran pemain import.