Halaman

04 February 2012

Skim Pembiayaan Khas KWSP jaga kepentingan pencarum

Oleh: Aida Abd Rahman

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memberi jaminan penggunaan RM1.5 bilion dana daripada Kumpulan wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk Skim Pembiayaan Khas bagi perumahan awam kepada golongan berpendapatan rendah tidak akan menjejaskan pencarum KWSP.

Jumlah peruntukan itu, menurut Perdana Menteri tidak begitu besar berbanding jumlah dana yang terdapat dalam KWSP.

“Kita memang mengutamakan dana KWSP kerana ia berkait dengan pencarum KWSP. Skim yang dicadangkan ini tidak akan menjejaskan kepentingan KWSP kerana nilai rumah berkenaan jauh lebih tinggi nilai pasarannya berbanding nilai rumah yang dijual kepada pembeli.

“Kalau pembeli tidak mampu bayar balik,rumah berkenaan masih boleh dijual di pasaran dengan harga yang lebih besar. Jadi, soal kepentingan pencarum KWSP sentiasa dilindungi menerusi apa jua skim,” katanya ketika sidang akhbar sejurus Program Perdana Menteri Bersama Rakyat Dun Rhu Rendang, di Padang Astaka Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, Marang, semalam (3 Februari).

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

Hadir sama, Ketua Bahagian Marang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad serta Pegawai Penyelaras Dun Rhu Rendang, Encik Nik Dir Nik Wan Ku.

Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas bantahan segelintir pihak mengenai penggunaan RM1.5 bilion bagi tujuan program itu.

Malah, beliau berkata, skim yang berkonsepkan mesra rakyat itu memberi peluang kepada pencarum KWSP yang berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri selepas gagal mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan.