Halaman

04 February 2012

PPK Marang sasar perluas kawasan tanaman

Oleh: Aida Abd Rahman

Potensi tanaman kelapa sawit yang baik pada masa depan mendorong Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Marang memohon tanah seluas 17 hektar dari kerajaan negeri berhampiran projek sedia ada untuk meluaskan ladang berkenaan.

“Kawasan itu sekarang ini terbiar dan tidak bertanam, boleh menjadi aset kekal kepada PPK Marang pada masa akan datang sekiranya kerajaan meluluskan tanah itu kepada PPK.

“Tanah itu akan ditanam sebaik sahaja kelulusan kerajaan atau Pejabat Daerah Marang diperolehi,” kata Pengurus Besar PPK Marang, Ahmad Anuar Abdullah.

Encik Ahmad Anuar berkata sebanyak RM60,000 dibelanjakan untuk membersih tanah dan kawasan sebelum projek itu dimulakan pada 2009 dan sehingga kini jumlah kos keseluruhan meningkat kepada RM120,000.

Beliau berkata PPK Marang tidak mempunyai masalah dari segi pemasaran buah kelapa sawit kerana mereka boleh memasarkannya melalui Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) sebagai badan induk PPK.

Hasil projek itu nanti akan diagih-agihkan kepada para peserta dalam bentuk dividen berdasarkan saham masing-masing dalam PPK.