Halaman

02 February 2012

PPK Marang nikmati hasil tahun ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Marang dijangka memperolehi hasil pertama projek tanaman kelapa sawit di Bukit Tebuang, Kampung Jenang Marang, tahun ini.

Pengurus Besarnya, Encik Ahmad Anuar Abdullah, berkata 50 peratus daripada 1,110 pokok kelapa sawit yang melibatkan kawasan seluas 7.5 hektar sudah pun mengeluarkan hasil, manakala 50 peratus lagi dijangka mengeluarkan hasilnya pada tahun depan.

Katanya penuaian buah sawit pertama, yang akan dilakukan pertengahan tahun ini, dijangka memberi hasil lebih 50 tan metrik, yang dianggarkan bernilai lebih RM30,000.

Projek itu melibatkan unit peladang Kampung Barat, Kampung Tok Fakir, Kampung Jenang, Kampung Pengkalan Berangan dan Kampung Bukit Baru, yang melibatkan 40 peserta.
Selain kelapa sawit, PPK Marang juga memberi tumpuan kepada projek komoditi yang lain seperti tanaman tembikai, jagung, pisang, padi di samping projek ternakan lembu, kambing, ayam dan burung walit.

“Projek atau program pengurusan Mini Estet Padi (MEP) telah bermula pada 2010 yang melibatkan kawasan 180.51 hektar daripada sejumlah 512.78 hektar dan pencapaian hasil terbaik dalam musim itu ialah 494.74 tan metrik,” katanya.

Unit-unit yang terlibat dalam projek tanaman padi itu termasuklah unit peladang Kampung Barat/Tuman Bukit Kulim, Jerong Tuan, Bukit Kolam, Kubu, Bukit Parit dan Temiang.

Katanya, projek itu bertujuan menambahkan pendapatan para penanam padi di daerah Marang khasnya di samping membantu kerajaan negeri untuk mencukupkan bekalan beras dalam negeri bagi mengelak kebergantungan beras dari luar.

PPK Marang juga berterima kasih kepada Bernas yang meluluskan sistem Satu Buku MEP PPK Marang kerana dengan sistem ini pengurusan MEP dapat berjalan lancar bagi kepentingan semua petani yang mengikuti program berkenaan.