Halaman

08 February 2012

Penuntut UMT terima BB1M

Oleh: Aida Abd Rahman

Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta penuntut seluruh Malaysia turut dinikmati 7,431 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Baucar berkenaan melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.49 juta disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, semalam (7 Februari).

BB1M yang bernilai RM200 mula diagihkan sejak 1 Januari dan sah digunakan sehingga 31 Mac ini yang diumumkan Perdana Menteri , Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak ketika pembentangan Bajet 2012 bertujuan membantu pelajar membeli pelbagai bahan bacaan yang berfaedah untuk kegunaan pembelajaran kumpulan itu.

Haji Ahmad Razif mengingatkan para pelajar berkenaan memanfaatkan pemberian baucar tersebut dengan sebaik-baiknya.

Turut pada majlis penyampaian baucar itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof Dr Yahaya Ibrahim.

Selain pelajar universiti, pelajar Tingkatan Enam, Matrikulasi, Asasi, Politeknik dan institusi pengajian tinggi swasta juga mendapat manfaat BB1M yang melibatkan peruntukan kira-kira RM260 juta seluruh negara.