Halaman

03 February 2012

Penduduk teruja jumpa PM

Oleh: Suriati Ali

Rata-rata penduduk tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib dan Datin Paduka Seri Rosmah sebaik beliau tiba di lokasi program dengan menaiki bas khas milik Majlis Perbandaran Kemaman.

Turut bersama-sama menaiki bas, Menteri Belia dan Sukan, YB Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Besar, Dato, Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To' Puan Seri Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; semua barisan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat BN.

Sebelum itu, kira-kira 1,000 ahli Kelab Bermotosikal Pemuda Umno bahagian Marang berkonvoi mengiringi bas yang dinaiki barisan pimpinan BN itu sambil melaungkan perkataan `Biru Nelang’.

Seorang peserta, Muhammad Faris Sulaiman 21, berkata dia teruja kerana dapat bersama-sama rakan lain menyertai konvoi bagi menyambut kedatangan Perdana Menteri di kawasan Parlimen Marang.

Katanya, melihat sambutan yang menggalakkan ini, dia dapat merasai penduduk terutama golongan belia di Rhu Rendang ingin perubahan.

“Semua pihak menyedari, selama dibawah takluk pimpinan Pas, tiada sebarang perubahan yang dilaksanakan melainkan hanya pandai menabur janji,” katanya ketika ditemui Teganukita selepas Program Lawatan Perdana Menteri Bersama Rakyat di Padang Astaka Majlis Daerah Marang (MDM) hari ini.

Nor Ainsha Ajid, 25 dari Paka, Dungun berkata, dia datang dari jauh semata-mata mahu melihat Perdana Menteri secara dekat di mana sebelum ini tidak pernah berpeluang berbuat demikian melainkan menatap wajahnya di kaca teleyisven.

Katanya, pada pandangannya, Dato’ Sri Mohd Najib cukup peramah, mudah mesra dan semestinya mempunyai ciri pemimpin berkaliber.

“Terima kasih di atas segala budi yang ditaburkan walaupun terdapat sesetengah pihak sering memburuk-burukkan apa yang dilaksanakan itu,” katanya.