Halaman

01 February 2012

Pembangunan bandar lancar

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) merupakan satu-satunya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkeupayaan memproses 100 peratus permohonan yang diterima sepanjang tahun lalu.

Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang berkata, permohonan kebenaran merancang seperti pecah sempadan, pecah bahagian, cantuman lot dan tukar syarat serta permohonan pelan kerja tanah, pelan bangunan, permit sementara dan perakuan pengeluaran CCC.

“Sepanjang tahun lalu kita menerima 1,094 permohonan merangkumi semua permohonan di bawah kawalan pemajuan dan pembangunan MBKT berbanding 981 tahun sebelumnya,” katanya.

Tambahnya, kejayaan memproses 537 permohonan kebenaran merancang dan 508 pemohonan pelan bangunan serta 49 permohonan serentak yang diterima amat membanggakan dalam usaha merancakkan pembangunan dalam bandar.

Sehubungan itu, MBKT menduduki tangga ketiga dari segi penerimaan, pemprosesan dan kelulusan permohonan selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Bandaraya Ipoh.

Dalam perkembangan lain, beliau menambah MBKT terus mengunapakai cukai taksiran berasaskan nilaian 1985 yang dipersetujui PBT, bagi pusat bandar (15 peratus) , pinggir bandar iaitu Pulau Kambing, Chabang Tiga, Losong Masjid dan Hiliran (12 peratus) dan kawasan baru (10 peratus).