Halaman

16 February 2012

Muzium pamerkan 80 artifak berharga

Oleh: Suriati Ali

“Saya dan kawan-kawan sekolah seronok datang ke muzium kerana dapat tengok secara dekat pelbagai barang lama yang dipamerkan.

“Untung datang ke sini kerana bukan saja dapat tengok malah dapat tambah ilmu kerana setiap apa yang dipamer dicatatkan usia dan asal barang itu diperoleh,” kata pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Nilam, Syed Alif Syed Farid.

Adik Syed Alif berkata demikian ketika ditemui Teganukita pada Pameran Khazanah Islam dari China, di Muzium Negeri, Losong, Kuala Terengganu.

Sempena pameran yang berlangsung selama enam bulan dan berakhir 14 Ogos itu, senaskah al-Quran bersadur emas berusia lebih 500 tahun dari Dinasti Ming, China merupakan antara 80 artifak yang dipamer kepada pengunjung.

Atrifak berharga lain, termasuk perkakasan yang dihiasi emas dan batu permata, koleksi cop mohor dari pelbagai dinasti, pasu seramik berusia 1,400 tahun, pasu porcelain, jade dari budaya budaya `Hong Sun’ dan kuda hiasan dari dinasti Tang.

Pameran bertaraf antarabangsa itu berbentuk ilmiah dengan mampamerkan artifak-artifak autentik yang tidak ternilai harganya dan jauh dari pengetahuan masyarakat .

Setiap pengunjung dikenankan bayaran tiket RM10 untuk dewasa, RM5 untuk kanak-kanak dan warga emas serta RM25 untuk sekeluarga (2 dewasa 2 kanak-kanak), waktu pameran dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Turut diadakan sepanjang pameran itu, pertandingan penulisan, pertandingan mewarna kanak-kanak dan murid sekolah, kuiz bulanan dan cabutan hadiah kepada pengunjung bertuah.

Pengunjung dari Setiu, Khusaini Ahmad, 28, berkata program seumpama ini cukup berharga kepada pengunjung terutama kepada pengkaji dan peminat artifak kerana boleh melihat secara dekat pelbagai seni halus dari dinasti purba Cina.

“Selain itu, ia juga dapat mengetengahkan kelebihan dan keistimewaan yang terdapat di muzium sepanjang pameran ini berlangsung.

“Orang ramai tidak patut melepaskan peluang mengunjungi pameran ini kerana lebih 80 artifak berharga dipamerkan,” katanya.