Halaman

07 February 2012

Masyarakat Cina hargai bantuan kerajaan BN

Oleh FAUZI MOHD

Di sebalik pelbagai dakwaan yang dilemparkan terhadap masyarakat Cina kononnya mereka antikerajaan, kaum tersebut sebenarnya masih mengharapkan bantuan dan pertolongan daripada kerajaan negeri dalam pelbagai hal termasuk pendidikan dan aspek kebajikan.



Rata-rata yang ditemui Teganukita pada Majlis Chap Goh Meh di Dewan Komuniti Cina Kemaman berkata, mereka menyokong dasar 1Malaysia dan ia amat baik untuk masa hadapan rakyat negara ini.



Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said dan dihadiri kira-kira 3,000 rakyat pelbagai kaum, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Dato' Mohamed Awang Tera, ADUN Air Putih, YB. Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar dan ADUN Kemasik, YB. Ir. Rosli Othman.


Seorang kerani Bee Ai Ling, 36, berkata, jika dibandingkan dahulu dan sekarang, sudah banyak yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terutama dalam soal kebajikan dan bantuan kepada masyarakat Cina.

"Hari ini masyarakat Cina tidak lagi berasa terasing. Kami mendapat perhatian dan agihan sama rata seperti dewan ini (Dewan Komuniti Cina Kemaman) yang dibina dengan sumbangan kerajaan BN.

"Dasar yang dibuat oleh kerajaan ketika ini amat berkesan, lebih-lebih lagi dalam menghulurkan bantuan kepada golongan miskin dan susah," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, masih ada ruang yang perlu dibaiki oleh kerajaan untuk mempertingkatkan masa hadapan masyarakat Cina di negeri ini khususnya di Kemaman.

Pekerja swasta, Wong Yung Hee, 48, pula berkata, ketika kerajaan memberikan tumpuan dalam aspek pendidikan kepada rakyat, masyarakat Cina juga melihat satu lagi aspek yang perlu diberi perhatian iaitu perubatan.

"Ramai di kalangan masyarakat Cina kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan perubatan yang baik.

"Kami melihat kerajaan berusaha ke arah itu dengan mewujudkan banyak klinik baru serta pembinaan hospital baru Kemaman di Kijal," katanya.

Manakala seorang penduduk, Foo Lim Chai, 60 merasakan dasar 1Malaysia telah menyatukan seluruh rakyat di negara ini dalam satu keluarga besar.

"Saya percaya dasar ini mampu dilaksanakan dengan seadilnya dan memberikan kesaksamaan kepada rakyat," ujarnya.




Pada majlis itu Dato' Seri Ahmad berkata, masyarakat Cina tidak perlu risau kerana kerajaan tidak pernah meminggirkan mereka dalam soal kebajikan, pendidikan dan masa hadapan untuk lebih terjamin.

"Dengan kestabilan politik, rakyat hari ini mampu hidup aman dan tenang. Tidak perlu wujud sengketa dan keharmonian perlu dipelihara agar masyarakat Malaysia dapat terus bersatu," jelasnya.