Halaman

09 February 2012

LTdL 2012 : TSG buru kemenangan peringkat

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) menyusun perancangan teliti untuk memastikan pelumba yang bakal mengibar cabaran pasukan itu pada kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 bersedia memenuhi sasaran kemenangan peringkat dan memperbaiki kedudukan keseluruhan edisi lalu.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, TSG memberi tumpuan terhadap kecergasan pelumba sebelum menyusun perancangan terakhir menjelang perlumbaan yang masuk edisi ke-17 bermula 22 Februari hingga 4 Mac depan.

Menurut beliau, pasukan lumba basikal profesional yang ditubuhkan kerajaan negeri pada April tahun lalu itu telah menyertai 27 kejohanan sepanjang tahun 2011 termasuk 13 kejohanan di luar negara.



“Apabila memasuki tahun 2012, pelumba TSG menyertai latihan intensif di Terengganu dan memasuki kem latihan di Chiang Mai, Thailand antara 3 Januari hingga 6 Februari lalu.

"Apa yang penting ketika ini adalah memastikan tahap kecergasan pelumba berada di tahap yang baik supaya dapat dipertingkatkan lagi menjelang bermulanya LTdL,” katanya pada majlis pelancaran TSG di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Toh Chin Yaw; Pengerusi Persatuan Berbasikal Terengganu, Dato’ Ahmad Sidi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Mohd Sophian Abu Bakar.



Tambah Dato’ Seri Ahmad, keyakinan sasaran itu di LTdL berdasarkan pencapaian TSG yang mencipta nama pada tahun lalu dengan menduduki tangga ke-4 daripada 70 pasukan dalam Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) Asia Tour.

Pada perlumbaan LTdL edisi ke-16 tahun lalu kata beliau, TSG berada kedudukan tangga ke-8 keseluruhan daripada 23 pasukan bertanding, manakala kedudukan ke-5 kategori Asia mengatasi pasukan negara.

“TSG telah menyambung kontrak lapan pelumba tempatan, mengambil dua pelumba baru dan mendapatkan khidmat tiga pelumba luar negara iaitu dua dari Korea dan satu dari Jepun serta kepakaran jurulatih dari Perancis, Sebastian Duclos,” ujarnya.

13 pelumba yang menggalas cabaran di LTdL ialah Mohamed Harrif Salleh, 23, selaku ketua pasukan; abangnya, Mohamed Zamri Salleh, 28; Faiz Syarifuddin Abd Kadir, 22; Muhammad Shobry Abdullah, 21; Anwar Aziz Muhd Shaiful, 25; Mohd Shahrul Mat Amin, 22 dan Mohamad Saufi Mat Senan, 21.

Selain itu, Nur Amirul Fakruddin Marzuki, 20; Mohd Nor Umardi Rosdi, 25; Yusrizal Yusof, 21; Shinichi Fukushima, 40 (Jepun); Jang Chan Jae, 23 (Korea) dan Kim Do Hyeong, 25 (Korea).

Pada majlis itu, TSG yang diwakili Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Dato’ Mazlan menerima tajaan daripada Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) sebanyak RM400,000, Kolej Universiti Tati (RM50,000) dan Shimano (RM120,000) sambil diperhatikan Dato’ Seri Ahmad.

Selain membei fokus kepada kejohanan LTdL, TSG bakal menyertai lebih 22 kejuaran sepanjang 2012 termasuklah Tour de Taiwan (10 Mac), Tour of India (25 Mac), Le Tour de Filipinas (14 April), Tour de Korea (22 April), Tour de Japan (20 Mei) dan Polygon Tour de Jakarta (16 Jun).







Video Majlis Pelancaran Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG)