Halaman

29 February 2012

LTdL 2012 : Lapthorne rampas Jersi Kuning, Anuar terus ditimpa malang

Oleh FAUZI MOHD

Jersi Kuning kini telah bertukar milik selepas tamat perlumbaan peringkat kelima Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 semalam.

Selepas unggul selaku pendahulu keseluruhan selama empat hari berturut-turut, pelumba pasukan Garmin Barracuda, David Zabriske terpaksa menyerahkan Jersi Kuning kepada pelumba Drapac Cycling, Darren Lapthorne.

Lapthorne kini muncul selaku pendahulu keseluruhan selepas berjaya menduduki tempat kedua pada perlumbaan peringkat kelima dari Ayer Keroh ke Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Dia menamatkan perlumbaan di belakang pelumba pasukan Androni Giocattoli, Jose Serpa yang merakamkan masa 4 jam 32 minit dan 17 saat.

"Saya sebenarnya agak terkejut kerana berjaya merampas Jersi Kuning daripada David. Semua ini adalah hasil bantuan rakan sepasukan saya, Adam (Phelan).

"Apabila saya mendengar bahawa David semakin jauh ketinggalan di belakang, ia memberi saya motivasi untuk terus berkayuh bagi memenangi Jersi Kuning ini," kata Lapthorne selepas perlumbaan semalam.

Pelumba negara, Muhd. Adiq Hussainie Othman pula berjaya mencuri tumpuan apabila menamatkan saingan sejauh 190 kilometer itu di tempat keempat.

Adiq juga boleh berbangga kerana berjaya mengutip 13 mata hasil kejayaannya menduduki tempat kedua di zon pendakian Genting Perez dan tempat pertama di zon pendakian Bukit Tinjau.

Pencapaian tersebut juga menyaksikan Adiq mengumpul 14 mata keseluruhan dalam persaingan Jersi Merah (Raja Bukit) untuk berada di belakang Matteo Rabottini yang mengumpul 18 mata.

Sementara itu, pelumba Farnese Vini-Selle Italia, Andrea Guardini yang mencatat kemenangan hatrik dalam tiga perlumbaan sebelum ini masih lagi mempertahankan gelaran Jersi Biru (Raja Pecut) dengan kutipan 45 mata.

Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia pula menjadi milik pelumba pasukan Astana, Alexandre Dyachenko yang merampas daripada rakan sepasukannya, Dmitriy Gruzdev.

Pelumba Terengganu Pro Asia (TSG), Mohd. Harrif Salleh yang menduduki tempat ketiga pada perlumbaan keempat kelmarin, hanya mampu menamatkan saingan di tempat ke-94.

Pelumba sensasi negara, Anuar Manan pula ditimpa malang selepas terlibat dalam kemalangan dan hanya mampu menduduki tempat ke-115 buat Champion System.

Sementara itu, pelumba skuad kebangsaan Malaysia berjaya menamatkan saingan dalam kelompok 20 pelumba terbaik dengan Mohd. Saufi Mat Senan di tempat ke-13, Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi (15) dan Amir Mustafa Rusli (19).

Peringkat keenam hari ini akan bermula dari Proton Shah Alam ke Genting Highlands sejauh 108 km dengan melibatkan dua zon pendakian (Puncak Alam - Km 24.1/ kategori 4 dan Genting - Km 108/ kategori Hors) serta tiga zon pecutan (Coalfields - Km 35, Paya Jaras - Km 43.7 dan Gombak - Km 63.3).