Halaman

24 February 2012

Kolej Komuniti disaran kerjasama erat dengan lima koridor ekonomi negara

Oleh: Aida Abd Rahman

Kolej Komuniti disaran memfokus kepada beberapa aspek termasuk mengadakan kerjasama yang rapat dengan lima koridor ekonomi negara, kata Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khalid Nordin.

Teks ucapan beliau disampaikan Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Encik Mohd Khairi Abdul Malik sempena Majlis Perasmian Kolaborasi Bersama Industri Petrokimia, Minyak dan Gas serta Penutup Kayuhan Lasak dan Fixie East Coast Eco Challenge (ECEC), di Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu, semalam (23 Februari).

Turut hadir, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Encik Zaidi Muda; dan Pengarah Kolej Komuniti Kuala Terengganu, Encik Mohd Rohimi Yusof.

Katanya, saranan yang terkandung dalam Amanat 2012 yang disampaikan beliau bulan lalu itu juga menuntut Kolej Komuniti agar menyediakan tenaga kerja serta memberi pendidikan dan latihan mengikut keperluan industri di koridor ekonomi berkenaan bagi memastikan kejayaan program transformasi ekonomi ke arah menjadi negara maju berpendapatan tinggi tercapai menjelang 2020.

Sehubungan dengan itu, bagi 2012, Jabatan Pengajian Kolej Komuniti (JPKK) diminta untuk menyediakan modal insan yang berkemahiran tinggi untuk ditempatkan sebagai tenaga kerja di lima koridor pembangunan ekonomi (IRDA, NCER, ECER, SDC, & SCORE) bagi menjana pembangunan industri di kawasan berkaitan seiring matlamat Pelan Transformasi Kerajaan (GTP).

Dalam hal itu, katanya, JPKK telah merancang dan melaksanakan beberapa program bagi memastikan matlamat untuk menghasilkan tenaga kerja yang menepati kriteria industri dapat dipenuhi.

“Program yang akan dijalankan bagi setiap koridor telah dirancang mengikut keperluan dan keunikan setiap koridor ekonomi.

“Bagi pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) antara program yang telah dirancang adalah seperti program menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang petrokimia, minyak dan gas serta bidang automotif,”katanya.

Dalam majlis itu juga, lapan syarikat terlibat menerima sijil kolaborasi, manakala 19 pelajar Kolej Komuniti Kuala Terengganu dan Kuantan menerima Pasport Keselamatan Minyak dan Gas (OGSP) dan surat tawaran pekerjaan daripada syarikat terbabit.